fbpx
Politik

Azalina wanita pertama pegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

AHLI Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said melakar sejarah sebagai wanita pertama di negara ini memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat .

Azalina, 57, dipilih memegang jawatan itu selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan anak jati Johor itu sebagai Timbalan Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Berkelulusan Sarjana Undang-Undang dari London School of Economics dan Diploma Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau akan menggalas tanggungjawab itu menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.

Berpengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes tuntutan sivil melibatkan isu perbankan korporat dan komersial, Azalina diterima masuk menyertai Badan Peguam Malaysia pada 1989 selain dilantik sebagai Penasihat di Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Ahli Jawatankuasa Perunding Hal Ehwal Wanita Selangor pada tahun sama.

Azalina juga merupakan wanita pertama di negara ini dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan yang mengangkat sumpah jawatan itu pada 30 Mac 2004 sebelum menerajui Kementerian Pelancongan pada Mac 2008 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Beliau juga pernah mengendalikan hal ehwal Parlimen ketika berkhidmat sebagai Pengerusi Kaukus Wanita Parlimen Malaysia pada 2013 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2015.

Mengimbas perjalanan beliau dalam arena politik negara, Azalina menyertai UMNO pada 1990 ketika berusia 27 tahun.

Selepas 10 tahun bergiat aktif, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO sekali gus menjadikannya sebagai ahli wanita termuda dilantik sebagai ahli MT.

Semasa Puteri UMNO ditubuhkan pada 2001, beliau dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Puteri UMNO yang pertama.

Selain bergiat aktif di dalam dunia politik, Azalina meminati aktiviti berbasikal sebagai aktiviti sukan dan rekreasi.

Azalina juga menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri Sabah, Selangor, Kedah, Perak dan Pahang yang membawa gelaran ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’.

Beliau pernah dianugerah Doktor Kehormat daripada University of Southern Queensland Australia dan dilantik sebagai Menteri Mentor, Universiti Malaya (UM) bagi tempoh dua tahun pada 2016 hingga 2018. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button