fbpx
Politik
Trending

Menghadap Agong belum tentu sah jadi PM

KENYATAAN Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap beliau tidak menjamin pembentukan kerajaan baharu.

Ini kerana, beliau perlu membuktikan menerusi akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen yang benar-benar menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

Malah, pertemuan dengan baginda juga tidak dapat dielak apabila seseorang Ahli Parlimen itu mahu menghadap untuk mempersembahkan sokongan yang diperolehi bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, kuasa untuk menentukan Presiden PKR itu dapat menjadi Perdana Menteri masih tertakluk kepada budi bicara baginda.

“Adalah menjadi tanggungjawab bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menerima menghadap sekiranya mana-mana Ahli Parlimen membuat permohonan untuk mempersembahkan sokongan kepada baginda.


“Ini memang Tuanku tak boleh elak, keduanya, sama ada beliau boleh angkat sumpah ataupun tidak sebagai Perdana Menteri belum lagi pasti.

“Sebaik sahaja selepas Anwar mengemukakan bukti dalam bentuk SD bahawa beliau mempunyai lebih daripada 112 Ahli Parlimen menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, Tuanku pasti melihat bukti tersebut.

“Dan ini akan membawa kepada pertemuan sekali lagi Tuanku dengan sekurang-kurangny 112 orang Ahli Parlimen atau lebih yang menyokong Anwar.”

Kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ketika dihubungi Suara Merdeka hari ini.

Bagaimanapun, beliau yakin sekiranya ada sokongan yang diberikan UMNO kepada Anwar hanyalah bersifat sementara.

Ini kerana menurutnya, UMNO juga dilihat mempunyai agenda ke arah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU) untuk membentuk semula kerajaan.

“Namun, saya percaya sokongan yang UMNO berikan kepada Anwar lebih menjurus kepada usaha untuk mempercepatkan pembubaran Parlimen,” ujarnya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim memaklumkan As Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustaffa Billah Shah berkenan untuk menerima menghadap beliau pada Selasa hadapan.

Penerimaan tersebut susulan Anwar membuat pengumuman dalam sidang akhbar pada September lalu memaklumkan beliau mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Malah katanya, beliau mempunyai sokongan daripada Ahli Parlimen yang lebih kukuh, stabil dan meyakinkan berbanding Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, Lokman bagaimanapun memaklumkan terdapat tiga situasi yang akan berlaku selepas Anwar mempersembahkan sokongan diperolehinya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Salah satunya, situasi sama seperti yang berlaku pada bulan Februari boleh terjadi sekali lagi apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

“Namun, akhirnya bergantung atas budi bicara Tuanku sama ada mahu mengadakan pilihan raya.

“Atau baginda boleh sahaja melantik Perdana Menteri interim selama tidak lebih enam bulan sebelum pilihan raya diadakan.

“Iaitu selepas negara tidak lagi berada di tahap berbahaya ancaman Covid-19.

“Maknanya Tuanku boleh melantik sesiapa sahaja yang baginda suka, Mahathir pun boleh.

“Hendak beri peluang kepada Anwar pun boleh, hendak lantik Najib pun boleh.” ujarnya. – SM

(Visited 2 times, 2 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button