Sukan

Melaka tepati ramalan ke pentas final acara regu, beregu

Melaka menguasai pentas final bagi kategori regu dan beregu apabila kedua-dua pasukan melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini malam tadi.

Dalam perlawanan akhir nanti, Melaka akan berdepan Johor bagi acara regu manakala satu lagi pasukan akan bertemu Perak bagi penentuan juara kategori beregu. Perlawanan akhir akan bermula pukul 2.30 petang esok.

Dalam aksi separuh akhir paling mendebarkan yang berlanjutan lebih sejam 40 minit menyaksikan gandingan tiga pemain kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri) dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar (apit kanan) terpaksa bertarung hingga ke set penentuan sebelum dapat menundukkan Pulau Pinang 2-1.

Di hadapan 2,000 penonton, Melaka menang set pertama 24-22 namun mereka hilang rentak sebelum tunduk mudah 9-21 di set kedua kepada gandingan Muhammad Zarif Marican (tekong), Thanawat Khunnikhom (apit kanan) dan Muhamad Zulhusni Basri (apit kiri).

Bagaimanapun, trio kebangsaan itu kembali mendapat rentak untuk bangkit semula meraih kemenangan yang amat bermakna dengan kemenangan 21-16 untuk melangkah ke pentas final.

Barisan pengurusan skuad sepak takraw Melaka berpelukan selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam saingan separuh akhir Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2022.

Lebih menarik Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam turut menyaksikan perlawanan tersebut turun ke gelanggang mengucapkan tahniah kepada barisan pemain dan pengurusan pasukan atas kejayaan tersebut.

Yang Dipertua Persatuan Sepaktakraw Melaka (Pastam) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, barisan pemain telah menunaikan janji untuk layak ke pentas final bagi kategori regu dan beregu seperti yang disasarkan.

“Jika mereka muncul juara di dua kategori itu hadiah wang tunai RM10,000 untuk regu dan RM8,000 bagi beregu akan mereka kongsi dan kita akan tambah 50 peratus wang tambahan buat mereka atas kesungguhan itu,” ujarnya.

Sementara itu, Johor seperti diramalkan mudah melangkah ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Negeri Sembilan 21-11, 21-14 dalam aksi separuh akhir sebelum itu.

Terdahulu, dalam acara beregu, Melaka mengesahkan kemaraan ke akhir selepas mengalahkan ATM 2-0 dalam aksi separuh akhir kedua pada sebelah petang.

Gandingan Loesak Kuram-Muhammad Faizulhairy Osman meraih kemenangan 21-18, 21-19 dan bakal menempah pertemuan dengan Perak dalam aksi final esok.

Perak pula mudah mengetepikan cabaran Kuala Lumpur 2-0 menerusi kemenangan 21-19, 22-20. – SM

(Visited 346 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button