Luar Negara

Covid-19: Donald Trump dan isteri, okay – Doktor

PADA Jumaat lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberitahu beliau dan isteri (First Lady), Melania didapati positif Covid-19 namun berada dalam keadaan baik dan akan terus menjalankan tugas rasminya.

Menurut laporan agensi berita Sputnik, doktor yang merawat Presiden AS itu berkata: “Sekarang Presiden dan isteri dalam keadaan baik-baik sahaja dan mereka merancang untuk terus berada di rumah semasa menjalani proses pemulihan.

“Pasukan perubatan White House dan saya akan terus memantau dan saya menghargai sokongan yang diberikan oleh beberapa petugas profesional dan institusi perubatan di negara kita.

“Saya berharap Presiden dapat meneruskan tugasnya tanpa sebarang gangguan,” kata Sean Conley dalam kenyataan yang dikeluarkan White House.

Sementara itu, perkembangan di United Kingdom (UK) pula melaporkan, 12,872 kes Covid-19 baharu dikesan kelmarin (Sabtu), mencatatkan rekod harian tertinggi bagi negara itu.

Kerajaan menyalahkan peningkatan kes secara mendadak itu ke atas faktor penangguhan laporan dan berkata, dalam beberapa hari akan datang, angka kes Covid-19 akan meliputi kes tambahan.

Laman web kerajaan UK memaklumkan, masalah teknikal menyebabkan penangguhan dalam pemaparan kes Covid-19 yang baharu.

“Ini bererti jumlah kes yang dilaporkan pada beberapa hari yang akan datang, akan meliputi sebahagian kes tambahan bagi tempoh antara 24 September sehingga 1 Oktober yang meningkatkan angka kes yang dilaporkan,” katanya.

Angka 12,872 kes harian yang dlaporkan itu digandakan daripada jumlah 6,968 yang dilaporkan pada Jumaat lalu. Ia memecah rekod harian tertinggi sebelum ini iaitu 7,143 kes yang dilaporkan pada Selasa lalu.

Pada masa ini UK memproses lebih 200,000 ujian saringan Covid-19 sehari berbanding kurang daripada 100,000 ujian pada permulaan penularan wabak itu.

Tetapi isu masalah teknikal dijadikan bahan kritikan oleh pengkritik yang mendakwa, kerajaan hilang kawalan ke atas penularan wabak berikutan kekurangan kapasiti ujian.

Bilangan kematian yang dicatatkan dalam tempoh 28 hari berikutan ujian positif Covid-19 berkurangan kepada 49 (pada Sabtu/kelmarin) daripada 66 pada hari sebelumnya (Jumaat). – SM

 

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button