Sukan

Malaysia intai dua emas dalam acara sukan elektronik

KUALA LUMPUR — Pasukan E-sports (Sukan Elektronik) negara menyasarkan kutipan dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa dalam penampilan sulung pada Sukan SEA ke-30 di Filoil Flying V Centre, Manila, dari 1 hingga 6 Disember ini.

Pengurus pasukan, Firdaus Hashim berkata, sasaran dua emas berkenaan adalah dalam permainan Dota 2 dan Hearthstone, manakala satu perak dan tiga gangsa lagi dalam empat permainan lain iaitu Starcraft II, Mobile Legends:Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7.

Beliau berkata Malaysia bakal menghantar 24 pemain termasuk tiga pemain simpanan dalam enam permainan berkenaan dan menunggu keputusan rayuan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menambah seorang lagi peserta.

Peserta tambahan tersebut dalam permainan Tekken 7 iaitu Abdul Rahim Abdul Shukor yang muncul naib juara kejohanan kelayakan E-sports kebangsaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah di Orange Esports Cyber Cafe, Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata kesemua 24 peserta berkenaan dipilih daripada kejohanan kelayakan kebangsaan yang berlangsung pada Mei lalu.

Beliau memaklumkan pemain Esports negara menjalani latihan persiapan selama 12 jam sehari di Orange Esports Cafe di Wangsa Maju dan Taman Segar di Cheras.

Firdaus berkata pasukan negara akan menyertai kejohanan pra-Sukan SEA di Manila dari 2-5 Nov ini yang melibatkan tiga permainan iaitu Dota 2, Mobile Legends:Bang Bang dan Tekken 7 yang bertujuan memeriksa peralatan dan fasiliti di venue pertandingan sebelum bermulanya saingan sebenar pada awal Disember ini.

Sebagai rekod, sukan Esports dijadikan sebagai acara pertunjukan pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, sebelum sah dipertandingkan sebagai salah satu acara daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019.

Sukan SEA 2019 bakal berlangsung dari 30 Nov sehingga 11 Dis ini di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic. – BERNAMA

(Visited 41 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button