fbpx
Bola SepakSukan

KAFA optimis Kelantan kekal beraksi musim 2021

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) optimis pasukan Kelantan akan kekal beraksi dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan meskipun kini dibelenggu masalah kewangan.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman menjelaskan kepimpinan KAFA amat komited dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi melengkapkan syarat pelesenan kelab kebangsaan dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“KAFA dapat satu peluang yang baik apabila FAM setuju rayuan KAFA supaya tempoh akhir 30 Jun diberi lanjutan sampai 31 Ogos, jadi kita ada dua bulan untuk selesaikan salah satu kriteria dalam pelesenan itu.

“Sebenarnya tunggakan itu dalam bentuk jadual pembayaran. Bila timbul masalah disebabkan COVID-19, pembayaran itu tergendala tetapi kita akan mulakan semula,” katanya ketika ditemui di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, hari ini.

Terdahulu, pemangku presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin bersama barisan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.


Mendedahkan mengenai pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Penajaan KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, KAFA antara lain turut meluahkan masalah yang sedang dihadapi kepada KBS.

“Kita meluah apa dihadapi KAFA dan memohon KBS jika ada peluang dan ruang untuk membantu kami,” jelasnya.

KAFA berdepan masalah serius apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan mereka menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Cassio Francisco de Jesus, Bruno Lopes dan Alaeddine Bouslimi yang berjumlah lebih RM920,000.

FAM sebelum ini mengambil tindakan memotong tiga mata pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super 2019 susulan kegagalan menjelaskan tunggakan gaji berjumlah RM235,686 kepada bekas pengarah teknikalnya, Alfredo Carlos Gonzales.

Sementara itu, Husin mengesahkan skuad ‘The Red Warriors’ itu akan kembali memulakan sesi latihan berpasukan pada 1 Ogos sebagai persediaan menghadapi saingan Liga-M yang dijangka bersambung pada September.

“Kita mulakan latihan pada 1 Ogos sebab jurulatih berpendapat sebulan sudah cukup untuk latihan taktikal. Pemain telah menjalani latihan sendiri di rumah dengan mengikut program disediakan sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” tambahnya. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button