Nasionalpilihan

Melaka dapat tambahan 500 tan metrik beras tempatan

Sebanyak 500 tan metrik beras tempatan akan mula diedarkan ke semua kedai runcit di negeri Melaka bermula Sabtu ini kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurutnya, jumlah yang diputuskan itu dijangka mencukupi bagi menampung keperluan rakyat di negeri ini berikutan kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Beliau berkata, keputusan untuk Melaka mendapat tambahan 500 tan metrik beras tempatan dicapai dalam satu mesyuarat khas menangani isu kekurangan beras hari ini.

Katanya, mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) dan syarikat pemborong beras negeri.

“Hasil daripada mesyuarat khas hari ini Melaka mendapat tambahan beras tempatan sebanyak 500 metrik tan yang akan diagih-agihkan ke semua kedai runcit di seluruh Melaka bermula Sabtu ini.

“Jumlah itu dijangka mencukupi untuk keperluan rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya selepas mesyuarat hari ini.

Dalam pada itu Muhamad Akmal meminta rakyat yang tidak mendapat bekalan beras tempatan sehingga akhir bulan ini segera memaklumkannya kepada pihak KPDN dan agensi berkaitan.

Menurutnya, mesyuarat yang diadakan bertujuan mencari jalan penyelesaian susulan kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran tempatan.

“Isu ini wajar ditangani sebaik mungkin dan tidak mungkin bekalan tidak mencukupi kerana kerajaan telah memberi jaminan bekalan sebanyak 60 peratus adalah mencukupi,” ujarnya.

Semalam dalam Ops Jamin di sebuah pasaraya di Jasin pihak pengurusan memaklumkan mereka tidak mendapat bekalan beras tempatan. – SM

 

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button