AgamaNasional

Menteri Hal Ehwal Agama sedia jumpa NGO bincang isu LGBT

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohd. Al-Bakri berkata, beliau bersedia mengadakan perjumpaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membincangkan isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau mengakui menerima banyak jemputan daripada NGO yang mahu mengadakan dialog bagi membincangkan isu-isu berkaitan golongan itu.

“Saya juga akan melakukan lawatan ke program-program yang dikolaborasi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan NGO untuk sama-sama berdialog dengan rakan sahabat transgender,” katanya  kepada pemberita selepas program Musaadah Covid-19 di Kampung Sena Rendang, Marang, Terengganu, hari ini.

Zulkifli berkata, JAWI tidak pernah menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk menangkap golongan transgender sepertimana didakwa Suruhanjaya Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Bagaimanapun, menurutnya lagi, golongan tersebut perlu mematuhi batasan dalam masyarakat, keluarga dan kejiranan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan majmuk.

“Apa yang saya nak tekankan di sini ialah kita, penguat kuasa, bukan bersifat semua orang kita nak tangkap …itu bukan kerja kita.

“Insya-Allah kita akan mengadakan dialog perbincangan untuk sama-sama mencari titik persamaan dan kebenaran,” katanya.

Zulkifli berkata, undang-undang negara sedia ada cukup bagi menangani isu LGBT. – BERNAMA

(Visited 247 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button