Ekonomi

ACCCIM suarakan kebimbangan tempoh moratorium pinjaman yang akan berakhir kepada BNM

GABUNGAN Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia  (ACCCIM) menyuarakan kebimbangannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung tempoh moratorium pinjaman enam bulan yang akan berakhir pada akhir September 2020 ini.

Semalam, BNM  mengadakan pertemuan dengan ACCCIM untuk mendapatkan maklum balas komuniti perniagaan berhubung moratorium pinjaman.

Bank Negara Malaysia | Central Bank of Malaysia

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew, dihadiri pegawai-pegawai kanan bank pusat, Presiden ACCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie.

Leong Yap dalam satu kenyataannya hari ini berkata, persatuan itu berharap BNM akan mengumumkan program pembayaran semula fleksibel susulan bagi membantu individu dan perniagaan mengharungi tempoh sukar ini.

ACCCIM juga berkongsi dapatan daripada kaji selidiknya bertajuk “Kaji Selidik Keadaan Perniagaan dan Ekonomi Malaysia” bagi separuh pertama 2020 dengan BNM.

Kaji selidik itu mendedahkan 37 peratus syarikat menyatakan mereka mempunyai kurang daripada tiga bulan aliran tunai untuk menampung operasi perniagaan manakala 42 peratus responden mempunyai aliran tunai dalam tempoh 3-6 bulan.

Kira-kira 45.7 peratus daripada responden perlukan tambahan enam bulan lagi moratorium pinjaman manakala 20.7 peratus meminta tambahan tiga bulan.

Leong Yap berkata, BNM memaklumkan, institusi kewangan ketika ini sedang giat mengadakan perbincangan dengan peminjam untuk menawarkan bantuan bagi pembayaran semula pinjaman mereka dan kemudahan kredit selepas berakhirnya moratorium pinjaman automatik pada September.

Antara pembayaran semula yang fleksibel adalah ansuran bulanan yang rendah, pembayaran semula berperingkat dan lanjutan tempoh pinjaman.

Pendekatan bersasar itu akan membantu sektor dan peminjam yang beroperasi dalam industri dan sektor sangat mudah terdedah dan sektor yang mengambil masa yang lama untuk pulih.

Katanya, dalam hal ini, bank pusat menggesa peminjam untuk membuat persediaan lebih awal untuk bertemu dengan pegawai bank bagi merangka program pembayaran semula fleksibel berdasarkan kepada kedudukan dan keperluan kewangan mereka.

Leong Yap menambah, ACCCIM mengalu-alukan pendekatan proaktif berterusan BNM dan institusi kewangan bagi membantu perniagaan dan peminjam dalam program pembayaran semula pinjaman untuk menyokong pemulihan ekonomi dan perniagaan bangkit daripada impak akibat pandemik Covid-19.

“Kami juga mahu BNM menimbang memberikan lebih fleksibiliti dalam memastikan mana-mana pinjaman/pembiayaan Dijadualkan Semula dan Distruktur Semula (R&R) tidak dikelaskan sebagai terjejas kredit dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Hutang (AKPK) sehingga 2021,” katanya. – BERNAMA – SM

(Visited 210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button