Nasional

Masalah penduduk Taman Muzaffar Syah dapat perhatian

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 21 Jun – Isu tebing runtuh di Jalan Sri Raya 4 dan Sri Raya 7 dalam kejadian pagi semalam akibat projek pembinaan pembangunan berhampiran meresahkan kira-kira 500 penduduk mendapat perhatian kerajaan negeri.

Semua pihak terlibat termasuk pemaju, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan semua agensi terlibat melawat ke tempat kejadian hari ini.

Pertemuan turut diadakan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ismail Othman dan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh, Datuk Mohd. Arief Yusa.

Kerajaan negeri mengarahkan siasatan segera dilakukan oleh pihak pemaju, JKR) dan MPHTJ berhubung kejadian yang meresahkan penduduk awal pagi semalam.


Muhammad Ahyad Abdullah

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat pejabat Ketua Menteri, Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, pihak terbabit diarahkan menyiapkan laporan terperinci berhubung kejadian tersebut sebelum dibawa kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menilai kerosakan yang mungkin akan berlaku termasuk mengelak daripada berlakunya insiden tebing runtuh berulang sebelum sebarang keputusan diambil.

“Pihak pemaju akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan yang timbul bagi mengurangkan keluh resah penduduk di 80 buah rumah di sekitar Jalan Seri Raya 4 dan 7 sejak insiden tebing runtuh berlaku.

“Dalam masa yang sama, kita juga telah meminta laporan terperinci daripada agensi terlibat termasuk JKR, MPHTJ dan pemaju. Laporan perlu dibentangkan kepada Ketua Menteri, petang ini juga,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan ke tempat kejadian turut berbincang dengan semua agensi terlibat serta meninjau kerosakan tebing dan cerun yang terletak berhampiran tapak projek.

Sementara itu Mohd. Arief ketika ditemui berkata, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) telah menerima terlalu banyak aduan hampir setiap bulan daripada penduduk berhampiran sejak projek pembangunan itu dilaksanakan Disember tahun lalu.

“Bukan sahaja daripada penduduk, aduan juga turut diterima daripada Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC), Pejabat Pendidikan Daerah Melaka Tengah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, pihak Japerun telah mengemukakan surat bantahan daripada penduduk kepada MPHTJ dan kerajaan negeri berhubung kekhuatiran mereka terhadap projek yang memberi impak negatif dan bahaya kepada penduduk terutama berkaitan tentang struktur tanah,

Katanya, projek pembangunan di kawasan tersebut telah mendapat bantahan awal daripada penduduk yang mempersoalkan mengapa projek itu diluluskan sedangkan lokasi itu merupakan Zon Hijau dan kawasan penampan sebagai benteng pertahanan kawasan industri dan rumah penduduk.

Lebih membimbangkan katanya, projek pembinaan itu berhampiran Lebuh Ayer Keroh dikhuatiri turut menjejaskan tangki air yang dikatakan boleh roboh jika berlaku hakisan tanah yang teruk apa lagi ditambah dengan musim hujan yang kerap berlaku.

 

(Visited 14 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button