Nasional

31,000 entiti tidak isytihar pendapatan-LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti 31,598 entiti, terdiri daripada individu, perniagaan, syarikat dan lain-lain, yang masih belum mengisytiharkan pendapatan mereka.

LHDN berkata entiti ini, termasuk hampir 24,000 individu, dikenal pasti berdasarkan pemilikan aset dan keupayaan mereka untuk mendapatkan pinjaman dan sekuriti bernilai RM500,000 dan ke atas.

“Kerugian cukai yang dialami kerajaan dianggarkan RM665 juta. Ini adalah jumlah yang besar dan boleh memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara jika tidak ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Agensi itu menasihatkan 31,598 entiti, khususnya 23,751 individu, hadir secara sukarela di cawangan LHDN berhampiran untuk mendaftarkan fail cukai pendapatan mereka dan mengisytiharkan pendapatan mereka.

“Mereka akan diberi tempoh tangguh selama sebulan dari 15 Jun hingga 15 Julai,” katanya.


Selepas tamat tempoh tangguh, agensi itu berkata ia akan menjalankan siasatan sivil dan jenayah serta menguatkuasakan audit cukai terhadap mereka yang gagal memfailkan borang pengisytiharan cukai.

“Siasatan jenayah akan menyebabkan pertuduhan difailkan di mahkamah di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana mengelak cukai,” katanya.

 

(Visited 29 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button