Nasional

Zambry adakan lawatan kerja ke Kyrgyz, Uzbekistan

MENTERI Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan lawatan kerja ke Republik Kyrgyz sehari mulai hari ini, sebelum meneruskan lawatan ke Republik Uzbekistan.

Semasa di Kyrgyz, Zambry akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan, TYT Zheenbek Kulubaev, Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz.

Beliau juga akan membuat kunjungan hormat ke atas TYT Sadyr Zhaparov, Presiden Republik Kyrgyz; TYT Nurlanbek Shakiyev, Yang di-Pertua Speaker Parlimen Republik Kyrgyz dan TYT Akylbek Zhaparov, Pengerusi Menteri-Menteri Kabinet Republik Kyrgyz (Perdana Menteri).

“Ketika lawatan ke Uzbekistan pada 03 dan 04 Julai 2023, saya akan bertemu rakan sejawatan, TYT Bakhtiyor Saidov, Menteri Luar Negeri Republik Uzbekistan.

Dalam kedua-dua lawatan ini, saya bersama-sama dengan rakan-rakan sejawat akan menandatangani Surat Niat mengenai Kerjasama Dua Hala antara Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Republik Kyrgyz; dan Program Kerjasama antara Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Republik Uzbekistan,” katanya dalam kenyataan media.

Perjanjian itu menandakan kemajuan dalam kerjasama dua hala yang akan membawa kepada perkongsian yang lebih komprehensif antara Malaysia dan kedua-dua negara melalui bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan serta kerjasama teknikal.

Zambry yakin bahawa lawatan ini akan memberikan dorongan baharu kepada kerjasama dua hala yang mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengukuh dan mengangkat hubungan dengan negara-negara Asia Tengah ini ke tahap yang lebih tinggi.

Selepas lawatan ke Republik Kyrgyz dan Uzbekistan, beliau akan terus ke Baku, Azerbaijan untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (Coordinating Bureau of the Non-Aligned Movement – CoB-NAM) peringkat Menteri Luar Negeri pada 05 hingga 06 Julai 2023.

Mesyuarat CoB-NAM peringkat Menteri Luar Negeri akan memberi peluang kepada Menteri-Menteri Luar Negeri NAM untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan NAM dan mesyuarat tersebut juga dijangka menerima pakai Deklarasi Baku serta Deklarasi mengenai Palestin.

“Semasa Mesyuarat CoB-NAM peringkat Menteri Luar Negeri, saya akan menyampaikan kenyataan Malaysia yang memfokuskan kepada tema “NAM: United and Steadfast in Confronting Emerging Challenges.”

“Di samping itu, saya juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan untuk membincangkan langkah meningkatkan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu-isu antarabangsa.”

“Malaysia mengiktiraf Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) sebagai forum penting untuk perundingan dan penyelarasan dalam kalangan negara membangun, menangani isu-isu penting politik, keselamatan, ekonomi dan sosial,” kata beliau.

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button