Nasional

Kanak-kanak bengkak urat saraf otak perlu bantuan RM35,000 untuk pembedahan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang menghadapi masalah saraf otak membengkak memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000 bagi menampung kos pembedahan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Bapanya, Mohd. Faizal Zakaria, 42, berkata, anaknya Ammar Danis Mohd. Faizal dikesan mengalami masalah tersebut ketika berusia tiga tahun apabila dia sering mengadu sakit kepala dan mengganggu pergerakannya.

Menurutnya, pada 2015 saluran darah di otak anaknya pecah dan menyebabkan anak sulung daripada dua beradik itu cepat penat, lenguh kaki dan menghadapi masalah tangan sebelah kanan.

Katanya, anaknya menjalani pembedahan pertama melibatkan kos RM30,000 dan anaknya kembali pulih seperti biasa.

Mohd. Faizal Zakaria bersama Ammar Danis.

“Namun baru-baru ini sewaktu buat rawatan susulan doktor mengesan ada urat lain yang membengkak dan memerlukan anak saya menjalani pembedahan lain.

“Pembedahan kedua ini kosnya sebanyak RM35,000 namun saya menghadapi masalah kewangan untuk mencari wang sebanyak itu.

“Pembedahan perlu dilakukan segera jika tidak ia akan memberi kesan yang teruk kepada anak saya. Sedih melihat anak sulung saya ini sering mengadu sakit badan,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini semalam.

Beliau ditemui sewaktu Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu diketuai pemangkunya, Nurul Baiti Rosli menyerahkan bantuan bersama isteri calon Parlimen Tangga Batu, Datin Teoh Su Chi dan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datin Ernie Aidilia Karim.

Mohd. Faizal yang bekerja sebagai senior operator di sebuah kilang berkata, masalah kesihatan yang dihadapi Ammar Danis memberi tekanan dan kesedihan buatnya serta isteri Nur Raudhatul Al Jannah Mohd. Ismail.

Katanya, anaknya kelihatan seperti kanak-kanak normal dan bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka namun disebaliknya dia tidak seaktif seperti kanak-kanak seusia dengannnya.

Sehubungan itu dia amat berharap dan berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan bagi mampu membantu Ammar Danis menjalani pembedahan dan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Justeru orang ramai ingin membantu boleh menyumbang melalui akaun Maybank 104068261720 (Mohd. Faizal Zakaria) atau berhubung di talian 01121285729. -SM

(Visited 1,022 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button