Nasional

Masa depan masih kabur, cabaran cukup getir

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang memperuntukkan RM250 billion yang mana kebanyakannya adalah bantuan tunai kepada rakyat.

Secara umum, pakej ini telah memberi kelegaan bagi kebanyakan rakyat di negara ini dan disambut baik , walaupun kita semua masih berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu dan dijangka berakhir pada 14 April 2020.

Daripada jumlah itu, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS), manakala RM2 bilion pula untuk memperkukuh ekonomi negara dan RM20 bilion seperti yang telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Ada beberapa pakar ekonomi yang menganggap jumlah RM250 bilion ini adalah adalah suatu jumlah yang di luar jangkaan.

Ini secara tidak langsung menggambarkan bahawa kerajaan hari ini sangat komprehensif dan prihatin serta memahami keperluan rakyat yang kini berada dalam kesusahan.

Bahkan daripada beberapa komen lain, ramai yang berpendapat pakej rancangan ini bukan sahaja mengambil berat akan golongan B40 dan PKS, tetapi juga mengambil kira pelbagai lagi golongan seperti M40, pekerja berpendapatan tinggi, pekerja sendiri, serta golongan warga emas yang juga mendapat manfaatnya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula merasakan pakej rangsangan ini merupakan usaha kerajaan menampung keperluan aliran tunai rakyat agar dapat terus berbelanja sepanjang tempoh kegawatan ekonomi dan Covid-19.

Bukan itu sahaja pakej ini juga dapat memastikan para peniaga PKS dan ekonomi domestik untuk terus hidup.

Sungguhpun begitu ada juga pihak yang merasakan pakej rangsangan ini masih di bawah jangkaan.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia Kamaruddin Baharin mencadangkan bantuan minimum RM1,000 setiap pekerja, atau sekurang-kurangnya 50% daripada gaji bulanan pekerja, untuk tempoh 6 bulan.

Menurut beliau usaha ini adalah perlu kerana menjangkakan kadar penghunian hotel yang lebih rendah akibat daripada pandemik ini.

Dan daripada satu laporan portal berita dalam talian, Dr AT Kumararajah, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur & Putrajaya (KLPICC) berpendapat bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) membuatkan seolah olah perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti tercicir.

Pakej ini hanya “melengahkan” masalah yang dihadapi Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) akibat COVID-19.

Selain institusi kewangan, semua inisiatif lain disusun sebagai kelewatan atau moratorium atau pembayaran lambat dan apabila cukup tempoh tangguhan pembayaran dan kelewatan tamat, masalahnya masih tetap ada.

Presiden Perusahaan kecil Sederhana, Datuk Michel Kang dalam satu laporan yang disiarkan oleh akhbar dalam talian, The Sun Daily menjelaskan sekiranya pandemik ini tidak berakhir dalam tempoh terdekat, tidak mustahil 5-10% PKS terpaksa ditutup bagi menanggung kerugian dalam tempoh yang panjang.

Melalui laporan tersebut, dianggarkan lebih satu juta rakyat Malaysia bakal hilang pekerjaan sekiranya 10% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mampu menanggung kos operasi keadaan ekonomi yang lemah meskipun kes melibatkan wabak COVID-19 disahkan selesai.

Persoalannya adakah rangsangan ini cukup memberansangkan? Tepuk dada dan tanyalah selera. Ada pihak yang berpuas hati dan tidak kurang juga yang mahu kerajaan memberikan lebih lagi.

Bagaimana jika pandemik ini berterusan sehingga lagi enam bulan? Adakah ekonomi Malaysia sudah bersedia menghadapinya?

Mungkin dalam keadaan sekarang, apa yang rakyat mahukan ialah penerangan yang lebih jelas dan usaha yang pantas untuk memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Itu sebabnya penyediaan pakej rangsangan ini mesti dilaksanakan dengan lebih komprehensif bagi memastikan bantuan ini sampai kepada semua golongan sasaran.

Sememangnya apa juga bentuk pakej, pasti ada beberapa isu yang masih tidak dipersetujui. Itu bukanlah satu kesalahan dan merupakan satu yang normal.

Dan kepada semua pihak yang terlibat dengan kegiatan ekonomi serta masyarakat umum perlu bekerjasama untuk memberikan sebarang maklum balas sama ada yang positif mahupun yang negatif.

Laporan dan maklum balas seperti ini adalah penting untuk pihak kerajaan menilai semula dan mungkin membuat beberapa lagi pakej rangsangan yang akan terus memanfaatkan masyarakat dan rakyat Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa cabaran kita yang seterusnya ialah bagaimana untuk terus menjana ekonomi bagi menghadapi masa depan yang masih kabur. –

Artikel Oleh SHAHBUDIN EMBUN, Pengerusi Biro Politik,
Majlis Perundingan Melayu (MPM) – SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button