Nasional

MARA rancakkan industri pembinaan di Sabah

Lancar projek pembangunan kondominium Signal Hill di Kota Kinabalu

MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) melalui anak syarikatnya MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) merancakkan industri pembinaan di Sabah menerusi projek pembangunan kondominium Signal Hill.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, projek tersebut dijangka turut menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

“Bukan itu sahaja, projek ini turut akan memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah serta memberi peluang kepada golongan peniaga bumiputera yang terkesan ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini hari ini.


Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Projek itu juga tambah Mahdzir, dijangka mampu merancakkan semula ekonomi dan industri pembinaan tempatan terutama dalam fasa pemulihan ini.

Projek pembangunan kondominium tersebut menawarkan sebanyak 441unit kediaman dengan gaya hidup moden yang menitikberatkan aspek keselamatan penghuninya. Ia turut mempunyai 14unit lot kedai berkeluasan hampir 20,000 kaki persegi.

Pembinaan projek dengan kos RM500 juta itu akan bermula pada pertengahan tahun hadapan dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

Selain pembeli tempatan, kondominium Signal Hill turut mensasarkan warga asing menerusi Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang bakal membawa manfaat ekonomi kepada Sabah.

“Menerusi usahasama pembangunan projek ini, MARA Inc. telah mengorak satu langkah lagi iaitu memperkasakan perkembangan syarikat dalam sektor pembinaan dan hartanah di negeri Sabah dan meningkatkan pengetahuan serta pengalaman dalam aspek pembangunan projek hartanah premium,” ujar Mahdzir. – SM

(Visited 172 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button