JenayahNasionalNegeri

360 bungkus air ketum dirampas sebelum COD

COD atau cash on delivery air ketum digagalkan. Ini berikutan seorang lelaki tempatan yang ditugaskan menghantar air ketum kepada para pelanggannya telah ditahan polis sebelum sempat COD.

Ketua Polis Padang Besar, Assisten Komisioner, Mohd Shokri Abdullah berkata, ini berikutan seorang pegawai dan enam anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar telah berjaya menahan lelaki warga tempatan berusia 46 tahun ini pada pukul 4 petang, 8 Ogos lalu.

Khemah kanvas tempat memasak dan membungkus air ketum dikesan di kawasan semak samun di Kampung Guar Musang, Chuping, Padang Besar. – Gambar Ihsan IPD Padang Besar

Dengan penahanan lelaki ini katanya, pihaknya berjaya merampas 18 beg plastik hitam setelah menjalankan serbuan ke sebuah khemah kanvas di dalam semak di kawasan Kampung Guar Musang, Chuping, Padang Besar.

“Pemeriksaan lanjut di dalam beg plastik hitam itu telah ditemukan 360 bungkus air (350 liter) ketum yang siap dimasak,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, kesemua rampasan bernilai RM1,800.

“Modus operadi (MO)nya, air ketum dimasak dan dibungkus di khemah kanvas itu sebelum diambil oleh pekerja lain untuk dihantar kepada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya.

Mohd Shokri berkata, suspek ini mengaku bekerja dengan seorang lelaki yang juga warga tempatan.

Kawasan memasak dan membungkus air ketum hanya 100 meter jalan utama di Kampung Guar Musang, Chuping, Padang Besar. – Gambar Ihsan IPD Padang Besar

Katanya, suspek menerima upah RM80 sehari untuk masak dan bungkus air ketum sebelum dijual kepada pelanggan.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati tempat kejadian terletak 100 meter dari jalan utama dan dalam kawasan terlindung dengan semak samun.

Mohd Shokri berkata, suspek yang saringan awal air kencing negatif ini ditahan reman selama tiga hari mulai 9 hingga 11 Ogos. – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button