pilihanPolitik

UMNO Bahagian Kota Melaka tiada perebutan jawatan tertinggi

UMNO Bahagian Kota Melaka mencapai kata sepakat apabila semua jawatan tertinggi dari ketua, timbalan, naib termasuk ketua serta naib sayap wanita, pemuda dan puteri tidak dipertandingkan pada Pemilihan Jawatankuasa Bahagian bagi penggal 2023-2028 pada 18 Mac ini.

Mengesahkan mengenai perkara tersebut Ketuanya, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, keputusan yang diambil untuk mengekalkan kesemua penyandang yang memenangi pemilihan pada 2018 dibuat atas persetujuan semua ahli di bahagian itu.

Menurutnya, cuma penyandang jawatan Ketua Pemuda yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem memberi laluan kepada naibnya, Mohd. Asyraf Zainal sebagai calon Ketua Pemuda yang baharu kerana tamat tempoh Pemuda.

“Kami bersepakat untuk mengekalkan semua jawatan tertinggi di peringkat bahagian termasuk sayap-sayap atas semangat keharmonian.

“Keputusan ini bukan bermakna kita menghalang demokrasi tetapi lebih kepada mahu mengekalkan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli akar umbi.

“Cuma yang akan ada pertandingan hanyalah di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, wanita, pemuda dan puteri.

“Sebagai Ketua Bahagian saya merasa amat bersyukur atas keharmonian, kestabilan yang ditunjukkan oleh semua ahli atas kesepakatan yang diambil,” ujarnya dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Kota Melaka di Air Leleh di sini hari ini.

Berikutan ketetapan tersebut, Abdul Razak mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka buat penggal kedua diikuti Datuk Ibrahim Fadzil (Timbalan), Datuk Abidullah Salleh (Naib), Datuk Haryaty Hamzah (Wanita), Mohd. Asyraf (Pemuda) dan Nur Farhana Ab. Ghani (Puteri).

Abdul Razak berkata, Mohd. Noor Helmy yang mengosongkan jawatan Ketua Pemuda kerana tamat penggal akan dilantik sebagai ahli jawatankuasa bahagian.

Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani percaya tidak ada calon-calon lain yang akan menawarkan diri bagi jawatan tertinggi bahagian itu menjelang tarikh akhir bagi mengemukakan borang pencalonan pada 26 Februari ini.

“Saya bangga melihat UMNO Bahagian Kota Melaka muncul bahagian pertama daripada enam yang membuat ketetapan semua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan,” ujarnya. – SM

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button