Nasional

Dua kematian, 123 kes positif baharu hari ini

DUA lagi kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia ialah 10 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian itu masing-masing melibatkan kes ke-890 iaitu doktor perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kes ke-259 iaitu daripada kluster tabligh di Sri Petaling.

“Kes kesembilan merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 48 tahun. Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara ke Turki. Beliau merupakan kakitangan KKM yang sebelum ini dirawat di ICU Hospital Tuanku Fauziah, Kangar,” katanya pada sidang media mengenai COVID-19 di Putrajaya.

Dr Noor Hisham Abdullah

Dr Noor Hisham berkata mangsa disahkan meninggal dunia hari ini pada 10.30 pagi.

Beliau berkata kes kematian ke-10 pula melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 74 tahun daripada kluster tabligh yang telah disahkan positif COVID-19 pada 14 Mac lepas dan diberikan bantuan alatan pernafasan setelah keadaannya semakin merosot.

“Beliau telah disahkan positif COVID-19 pada 14 Mac. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 4.05 petang, 22 Mac,” katanya.

Sementara itu beliau berkata setakat 12 tengah hari ini, 123 kes baharu telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,306 kes.

Katanya berdasarkan siasatan awal, sebanyak 74 daripada 123 kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, manakala 49 kes lagi adalah berkaitan dengan lain-lain kluster dan masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

Dalam pada itu, sebanyak 25 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 139 kes, kata beliau.

“Sehingga kini, seramai 46 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 22 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. – BERNAMA

(Visited 117 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button