Nasional

Mampukah antibiotik selamatkan baki 58 ekor lagi kerbau Syukur

SELEPAS setiap hari menyaksikan satu demi satu kerbaunya mati, kini jalan terakhir untuk menyelamatkan baki 58 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis adalah dengan memberikan suntikan antibiotik mulai hari ini.

Pemberian suntikan itu kepada kerbau yang masih hidup adalah  usaha terakhir menyelamatkan ternakan berkenaan.

Bagaimanapun ia bukan jaminan dapat menyelamatkan kerbau-kerbau tersebut terutama jika sudah dijangkiti virus penyakit tersebut yang dipercayai hawar berdarah.

“Hanya itu sahaja usaha yang boleh diambil untuk menyelamatkan baki kerbau yang masih tinggal.

“Suntikan pelalian atau vaksin hawar berdarah (HS) sudah tidak boleh diberikan kerana semua kerbau itu sudah dijangkiti penyakit itu.


“Sekiranya suntikan vaksin itu diberikan juga kepada kerbau yang sudah dijangkiti, ia akan mencetuskan kesan bertentangan serta meningkatkan risiko kematian kerbau berkenaan,” kata Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali seperti yang dipetik daripada BH Online.

Suntikan antibiotik itu bertujuan meningkat daya tahan melawan penyakit kerbau-kerbau tersebut serta bagi  mencegah jangkitan sekunder.

Kandang kerbau milik bapa Syukur, Khamis Jusoh juga sentiasa dipantau JPV bagi memastikan penyakit terbabit tidak menular ke kawasan lain.

“Segala pergerakan ternakan lembu dan kerbau di kawasan Kampung Serada ke kawasan lain tidak dibenarkan.

“Arahan halangan yang dibuat itu sehingga wabak pulih sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu semua pihak diminta akur kepada arahan supaya tidak mendekati kandang itu atau mereka dikenakan tindakan.

Orang ramai yang melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah subsekysen 70 Akta Binatang 1953 (Akta 647).

 

(Visited 132 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button