Nasional

Rakyat perlu hormat prinsip kebebasan badan kehakiman – Raja Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini menitahkan rakyat agar menghormati dan memelihara prinsip kebebasan badan kehakiman dan tidak membuat sebarang tuduhan yang melulu dan tidak berasas kepada hakim atau pegawai kehakiman.

Baginda yakin dan percaya bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang hakim yang perlu banyak bersabar dan berkorban masa dan tenaga.

“Setiap keputusan yang dibuat akan menjadi kayu pengukur kepada proses keadilan dan menjadi rujukan pada masa hadapan,” titah Baginda.

Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Kompleks Mahkamah Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kangar, Dr Arik Sanusi Yeop Johari.

Berangkat sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, umum mengetahui terdapat tiga cabang utama yang ditadbir berasingan di bawah sistem pentadbiran negara iaitu Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.

“Ketiga-tiga Badan ini mempunyai peranan, tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing,” titah Baginda.

Baginda bertitah, dengan adanya pengasingan kuasa ini, pemerintahan nagara akan berjalan dengan tersusun dan teratur serta wujud ‘check and balance’ dalam sistem pentadbiran negara.

Bagi Badan Kehakiman, Baginda menaruh harapan tinggi agar para hakim dan pegawai kehakiman sentiasa menjaga integriti dan etika pada setiap masa bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat sentiasa berpaksikan kepada keadilan dan kesaksamaan dan ‘without fear or favour’.

Jika sesuatu keputusan itu dibuatberlandaskan undang-undang dan fakta yang betul, Baginda yakin sudah pasti keputusan tersebut dapat diterima baik oleh semua pihak.

Pada kesempatan yang sama juga, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengajak seluruh jentera kerajaan termasuk penjawat awam, ahli politik, badan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam bersatu hati dalam membasmi dan membendung masalah rasuah.

Jika budaya ini tidak dihapuskan titah Baginda, ia akan merosakkan seluruh sistem pentadbiran dan masyarakat baik dari segi politik, ekonomi dan sosial. – SM

(Visited 188 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button