Nasional

Ada keperluan pinda Seksyen 21 Akta Polis – KPN

Terdapat keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pindaan terhadap Seksyen 21 Akta Polis 1967 (Akta 344), yang berkaitan dengan tugasan mengiring di jalan raya.
Memetik BERNAMA, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dengan pindaan itu, hukuman bagi Seksyen 21 Akta 344 akan dinaikkan menjadi sama seperti menghalang penjawat awam mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Pada saya, sebenarnya Seksyen 21 ini kita (polis) jarang sangat gunakan, sebab kita mempunyai Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Tiada masalah jika Seksyen 21 ini dipinda. Kita akan pakai dua-dua dan ikut mana yang lebih baik dan afdal. Memang ada keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kuala Lumpur, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Pindaan kepada Akta Polis 1967 (Akta 344) yang akan melibatkan perubahan terhadap 10 Fasal, dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama pada 18 Mac.
Antaranya, Fasal 4 bertujuan meminda Seksyen 21 untuk mengadakan peruntukan bagi kewajipan pegawai polis melaksanakan tugas mengiring di mana-mana jalan awam dan mana-mana orang yang menggalang, menentang atau melanggar arahan polis, boleh didenda sehingga RM10,000 serta penjara sehingga dua tahun, berbanding hukuman RM200 dan dua bulan penjara sebelum ini.
Razarudin berkata, tidak sepatutnya timbul sebarang isu mengenai pindaan ini, kerana kesemuanya sudah diputuskan oleh pihak yang mempunyai kuasa.
“Kesemuanya sudah diputuskan di Parlimen,” katanya. – SM
(Visited 20 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button