Rencah Hidup

Jenazah Subky Abdul Latif selamat dikebumikan

Jenazah Pengerusi Veteran PAS Subky Abdul Latif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah dekat sini, kira-kira pukul 6.00 petang.

Allahyarham Subky atau nama sebenarnya Ahmad Subki Abdul Latif, 80, yang juga pengasas akhbar rasmi PAS, Harakah, meninggal dunia di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak, pukul 11.05 pagi ini akibat pre-leukimia myelodyplastic syndrome (MDS) iaitu sejenis penyakit berkaitan darah.

Jenazah Subky, tiba di Masjid Bilal Bin Rabbah, di Taman Koperasi Polis Fasa 1 di sini, pada 2.43 petang untuk pengurusan jenazah serta disembahyangkan.

Jenazah disolatkan kira-kira pukul 5.10 petang yang diimamkan anak lelaki Allahyarham, Abdul Latif Rahbar Ahmad Subki dan disertai kira-kira 100 jemaah, terdiri daripada ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat Allahyarham.

Solat jenazah dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), termasuk pemakaian penutup hidung dan mulut, membawa sejadah sendiri serta menunaikan solat jenazah dengan jarak sosial antara jemaah.

Yang turut hadir menunaikan solat jenazah, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Timbalan Presiden PAS.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan itu yang terletak di Taman Selasih, Batu Caves dan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan berada di kawasan perkuburan bagi urusan pengebumian.

Allahyarham Subky meninggalkan seorang isteri, Naznah Taha, lima anak dan 12 cucu.

Sebelum ini, beliau dilaporkan dimasukkan ke Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan, Pahang akibat darah merah rendah, jangkitan paru-paru dan masalah jantung, awal Jun lepas.

Allahyarham adalah bekas wartawan menjadi pengasas Harakah pada 1978 dan kolumnis tetap ruangan ‘Mens Sana in Corpore Sano’ dalam akhbar itu.- BERNAMA

(Visited 348 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button