Nasional

UPSI anjur Program Outreach promosi peluang pendidikan tinggi

PROGRAM Outreach “Ramah Mesra di Bagan Datuk” anjuran Bahagian Kemasukan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung pada Selasa dan Rabu lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata program tersebut merupakan inisiatif UPSI bersama KPT untuk mempromosi dan menyebarluaskan maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta Institut Latihan Kemahiran Awam.

“UPSI merupakan universiti pendidikan yang unggul yang terletak di negeri Perak dan sentiasa menyokong usaha meningkatkan kemajuan pendidikan anak-anak negeri Perak,” katanya.

Pengarah Akademik UPSI, Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata program tersebut yang diadakan di Dewan Dato’ Lope’ Hashim telah mengumpulkan beberapa institusi pendidikan tinggi awam Malaysia (IPTA) yang mengadakan pameran akademik.

”Antara IPTA yang terlibat ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), serta Universiti Putra(UPM).

“Selain itu, terdapat juga pameran oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kolej Komuniti, Politeknik, Kolej Vokasional, Yayasan Perak, Majlis Agama Islam, Adat Melayu Perak Darul Ridzuan( MAIPk) serta pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, program tersebut menyasarkan dan mengalu-alukan guru, ibu bapa dan pelajar B40 luar bandar yang akan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelajar anak Orang Asli serta pelajar-pelajar dari sekolah sukan yang juga kumpulan laluan khas kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Selain itu, nenurut beliau Unit Pusat Universiti KPT dan pihak UPSI telah memberi taklimat berkaitan peluang kemasukan bagi yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.

Majlis pembukaan program tersebut yang diadakan pada Rabu lalu telah dihadiri oleh Pengarah Bahagian Kemasukan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi KPT, Wahi Nordin. -SM

(Visited 332 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button