fbpx
Ekonomi

Malaysia dahului penggunaan dompet digital di Asia Tenggara

Malaysia mendahului dalam penggunaan dompet mudah alih/digital di Asia Tenggara, diikuti Filipina (36%), Thailand (27%) dan Singapura (26%), menurut Kajian Impak Mastercard 2020.

Keputusan Edisi Pasaran Malaysia menunjukkan sebanyak 40% daripada pengguna dilaporkan menggunakan lebih banyak dompet mudah alih/digital, diikuti kad debit tanpa sentuhan (26%) dan kad kredit tanpa sentuhan (22%).

Oleh itu, penggunaan tunai merosot 64% sejak awal pandemik Covid-19.

Perubahan dalam cara pembelian menunjukkan peralihan di seluruh rantau dengan pasaran lain seperti Singapura, Filipina dan Thailand turut mengurangkan penggunaan tunai, masing-masing sebanyak 67%, 64% dan 59% serta menyaksikan peningkatan yang sama dalam penggunaan semua kaedah pembayaran tanpa sentuhan.

Kajian turut menyaksikan penggunaan pembayaran digital di Malaysia turut lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.

Pada April, pengguna melakukan lebih banyak pembayaran tanpa tunai termasuk pembayaran mudah alih dan QR sebanyak 18%, berbanding 16% di Filipina, 15% di Singapura dan 15% di Thailand.

Selain itu, negara turut menyaksikan peningkatan dalam aktiviti digital terutamanya membeli-belah dalam talian dan penggunaan pembayaran digital, yang juga lebih tinggi berbanding pasaran lain di Asia Tenggara.

Hampir separuh daripada pengguna yang dikaji di Malaysia melaporkan peningkatan membeli-belah dalam talian dalam tempoh sama.

Rakyat banyak meluangkan masa dalam melayari Internet untuk berita dan hiburan (75%), diikuti penstriman video dalam talian (57%), rangkaian sosial (55%) dan penghantaran makanan atau barangan runcit ke rumah (50%).

Selain itu, sebanyak 64% berkata mereka akan membeli-belah dalam talian dalam kekerapan yang sama seperti sekarang atau sebelum pandemik walaupun sekatan ditarik balik.

Pada masa sama, pengguna menjangka untuk meneruskan penghantaran ke rumah (54%) dan bekerja dari rumah (45%), menurut kajian itu.

Di Malaysia, 97% responden berasa positif atau neutral mengenai bagaimana kerajaan dan bank membantu mereka menghadapi krisis ini.

Sementara itu, Presiden Bahagian Mastercard Pasaran Pesat Membangun Asia Tenggara, Safdar Khan berkata syarikat komited untuk menggunakan kuasa data untuk membolehkan perniagaan dalam semua saiz menyesuaikan dengan keperluan, pilihan dan tata laku pengguna yang berubah melalui e-dagang, had pembayaran tanpa sentuhan yang meningkat, dan menerajui peralihan kepada tanpa sentuhan di rantau ini.

Data diperoleh daripada 10,000 pengguna dan/atau profesional perniagaan dalam 10 pasaran di rantau Asia Pasifik.-BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button