Hiburan

Majlis tahnik: Siti Nurhaliza mohon maaf, beri penjelasan

PENYANYI nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza memohon maaf kepada pihak yang kurang senang dengan majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Siti Nurhaliza berkata, pihaknya memahami dan berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan.

“Kami juga bersedia untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

“Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik,” katanya.

Dalam penjelasannya Siti Nurhaliza berkata, tidak berlaku sebarang aktiviti rentas negeri terhadap individu yang hadir dalam majlisnya termasuk seorang pendakwah bebas dari negeri lain.


Menurut beliau, individu berkenaan bersetuju untuk hadir kerana kebetulan berada di Kuala Lumpur ketika majlis berlangsung.

Tambah Siti Nurhaliza, atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadiri juga mematuhi syarat penganjuran majlis sosial di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Majlis yang berlangsung juga dibahagi kepada tiga sesi dengan bilangan tetamu dihadkan dan dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid.

Siti Nurhaliza juga menjelaskan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bukanlah sebagai tetamu khas seperti yang didakwa.

Sebaliknya Dr. Zulkifli hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum bergegas pulang untuk urusan lain.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin.

“Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu.

“Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak,” katanya.

Siti Nurhaliza sebelum ini dihujani kecaman netizen selepas didakwa menjemput beberapa pendakwa bebas dari negeri lain ke majlis tahnik anak lelakinya, Muhammad Afwa baru-baru ini.

Pertikaian tersebut timbul selepas beberapa keping foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal dilihat hadir ke majlis berkenaan yang diadakan di kediamannya pada Khamis lalu.

Difahamkan acara aqiqah sempena kelahiran bayi serta sambutan maulid nabi turut diadakan pada majlis sama.

Susulan daripada foto tular berkenaan, netizen mempersoalkan bagaimana salah seorang pendakwah yang dipercayai menetap di Terengganu dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.

Selain Dr. Zulkifli majlis itu turut dihadiri Ustaz Don Daniyal, Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari.-SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button