fbpx
Hiburan

Syor Festival Filem Malaysia diperluas ke India

AHLI lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) baharu dilantik R. Denes Kumar, mengesyorkan Festival Filem Malaysia diperluaskan ke India.

Ia sebagai inisiatif memupuk bakat filem tempatan, selain mencetuskan inspirasi kepada pemain industri untuk meluaskan pengetahuan dalam penghasilan filem.

Pelakon juga penerbit berusia 38 tahun itu berkata, dengan menjelajah pasaran luar negara, dapat menyuntik lebih banyak inspirasi.

“Tujuan membawa Festival Filem Malaysia ke India untuk menarik minat terhadap kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia melalui pelbagai jenis filem terutamanya Melayu, Cina dan Tamil, dapat mengetengahkan negara ke persada dunia.

“Dalam industri, kerjasama dengan pengeluar filem terbesar di dunia (India) boleh menjadi platform yang menggerakkan lagi pembuat filem tempatan kita.


“Usaha usaha sama itu juga boleh menjadi motivasi kepada penerbit filem tempatan untuk menghasilkan lebih banyak filem berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Denes berkata, Malaysia mempunyai banyak pakar teknikal yang ingin bekerjasama dengan kru berpengalaman dari India selain tempat-tempat menarik yang boleh mengundang minat pengeluar filem negara itu menjadikan Malaysia sebagai lokasi pengambaran.

“Saya ingin membawa pakar teknikal industri filem India untuk bekerjasama dengan kru tempatan kita. Pendedahan seperti ini membantu bakat tempatan memperoleh pengetahuan bagi menghasilkan filem yang memenuhi standard antarabangsa,” kata pelakon itu.

Beliau pernah menerbitkan empat filem India tempatan dengan sebuah filem dikeluarkan di peringkat antarabangsa – di Singapura dan United Kingdom.

Denes, yang mengetuai jawatankuasa Pasaran Kandungan dan Pasaran Benua India di bawah FINAS, berkata ada rancangan untuk meningkatkan sumbangan pendapatan filem tempatan India yang pecah panggung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya, sebagai contoh, filem komedi tempatan ‘Vedigundu Pasangge’, yang dihasilkan di bawah penerbitannya pada 2018, melakar sejarah sebagai filem Tamil, meraih kutipan RM1.3 juta.

Mengenai norma baharu penerbitan filem pasca-COVID-19, Denes berkata ia dihasilkan dengan mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Tatacara Pengendalian Piawai (SOP).

Industri perfileman akan bangkit semula, apabila keadaan kembali seperti biasa, ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button