Nasional

MAIPs tambah bantuan persekolahan tahun hadapan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukkan zakat untuk Bantuan Persekolahan MAIPs untuk tahun 2021 berjumlah sebanyak RM4,333,000 berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM3.9juta.

Agihan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 8,666 pelajar merangkumi 5,263 orang pelajar sekolah rendah dan 3,403 orang pelajar sekolah menengah di seluruh Negeri Perlis. Jumlah ini adalah tidak termasuk dengan penerima pelajar dari kalangan Sekolah Agama Rakyat yang turut akan disalurkan bantuan secara berasingan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs Tahun 2021’ yang diadakan di Dewan Sri Pulai, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor yang menyampaikan slot perkongsian bertajuk ‘Hasrat Pendidikan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail’.


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Rozieana Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran MAIPs, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Tambah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM 500 yang akan disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu, Bapa dan Guru di semua sekolah seluruh Negeri Perlis serta merangkumi bantuan berikut iaitu:
i) RM 200 adalah berupa Pakaian Sekolah dan buku yang akan diuruskan oleh pihak sekolah;
ii) RM 100 sumbangan tunai yang akan diamanahkan kepada ibu bapa pelajar atau penjaga; dan
iii) RM200 untuk pelaksanaan aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh Pengurusan Sekolah melalui kerjasama PIBG. Program berkenaan hendaklah untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih atas kerjasama pihak pengurusan sekolah, barisan guru serta pihak Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) seluruh negeri Perlis yang turut terlibat menjayakan proses mengenalpasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih.

(Visited 167 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button