Kemalangan

Tragedi empat sekeluarga maut kemalangan di simpang tiga

Empat sekeluarga maut termasuk kanak-kanak berusia lima tahun dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di simpang tiga Jalan Kolam, Machap, Alor Gajah, Melaka di sini kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, mangsa yang maut ialah seorang warga emas, Ibrahim Daud, 71, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Latipah Dorahim, 66, pula meninggal dunia selepas mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah.

Menurutnya, dua lagi mangsa yang maut pula dikenali sebagai Syazana Tharin, 30, isteri kepada pemandu Toyota Estima, Muhammad Izwan Ibrahim, 30, yang tidak mengalami sebarang kecederaan serta anak mereka Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, meninggal dunia di hospital yang sama.

Beliau berkata, seorang lagi anak Muhammad Izwan, Aniq Fahim pula berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Alor Gajah dekat sini.

Jelasnya, kesemua mangsa berasal dari Felda Bukit Senggeh, Asahan, Melaka.

“Kemalangan berlaku dipercayai apabila kereta jenis Toyota Land Cruiser yang keluar dari simpang berkenaan lalu terus membelok ke kanan.

“Ia terus bertembung dengan kereta jenis Toyota Estima yang dipandu Muhammad Izwan dinaiki isteri dua anaknya serta ibu bapanya datang dari arah Selandar.

“Walaupun mangsa cuba membrek sejauh lima meter mengelak daripada melanggar Land Cruiser itu namun ia tetap melanggar di bahagian kiri hadapan menyebabkan bapa Muhammad Izwan, Ibrahim meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Arshad, kesemua penumpang daripada kenderaan itu telah dibawa ke Hospital Alor Gajah bagaimanapun tiga daripada mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemandu Land Cruiser, Koh Eng Koon, 59, dari Taman Bukit Beruang, Melaka pula sekadar mengalami sakit dada dan mendapat rawatan di hospital yang sama.

Katanya, jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak hospital untuk proses bedah siasat dan kenderaan telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Tambah Arshad, semasa kejadian Toyota Land Cruiser dipandu seorang peniaga berumur 59 tahun dari arah Durian Tunggal menghala ke Selandar, manakala kereta mangsa pula dari arah Selandar ke Alor Gajah.

Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Ngwe Hee Sem, kesemua mangsa terlibat sedang dalam perjalanan ke Langkawi, Kedah untuk meraikan sambutan hari lahir Ibrahim.

“Kemalangan di simpang tiga Kampung Asli Machap Baru pagi tadi telah meragut empat nyawa. Dengar cerita mereka bersama keluarga dalam perjalanan ke Langkawi untuk meraikan hari jadi datuknya,” ujarnya. – SM

(Visited 883 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button