Berita

MAIPs sumbang lebih RM3 juta kepada masjid

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan sumbangan keseluruhan tahunan kepada masjid-masjid seluruh negeri Perlis berjumlah RM3,001,323.40 bagi tahun 2021 ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyerahkan simbolik sumbangan ‘Bantuan Baik Pulih Rumah Mikro’ berjumlah RM2,406,718.70 kepada Md Razak Md Daud yang mewakili amil-amil zakat MAIPs bagi seluruh negeri Perlis.

Baginda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan ‘Ziarah Dakwah Bil Hal’ daripada MAIPs bernilai RM594,603.70 yang diterima oleh Noorhamizi Yaakob yang mewakili Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Seluruh Negeri Perlis.

Hadir sama mengiringi keberangkatan tiba baginda ke program yang disekalikan dengan aktiviti ‘Hijrah Minda MAIPs’ yang dilaksanakan di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Mohd Hafiz Abu Seman.

Bertitah selepas program tersebut,Tuanku Raja Muda memaklumkan bahawa MAIPs telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam ’Pelan Strategik MAIPs 2021-2025’ sebagai hala tuju kelestarian agihan zakatnya. Melalui dokumen ini, tersusun pelbagai perancangan MAIPs dalam mendepani cabaran semasa bagi melaksanakan fungsi dan peranannya, selain turut membawa hala tuju yang jelas dalam meneruskan agenda pengurusan hal ehwal Islam yang cemerlang.

Pada masa yang sama tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘MAIPs juga telah menyediakan ’Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0’ serta telah menyiapkan ’Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0’ sebagai panduan gerak kerja pekhidmat majlisnya.

Turut diadakan di lokasi yang sama ialah penyerahan bantuan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan dan juga promosi oleh pihak Rejimen 504 Askar Wataniah yang diketuai sendiri oleh Timbalan Komandernya, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button