BeritaPendidikan

EQ perlu dipelajari, dibina dalam diri seseorang persediaan memasuki pasaran pekerjaan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa menghormati hak orang lain, bertolak ansur, dan bekerjasama itu tidak memerlukan IQ yang tinggi tetapi EQ, ataupun ‘Emotional Quotient’. IQ yang tinggi tetapi tanpa kecerdasan emosi EQ, tidak akan menjadikan seseorang itu berjaya.

EQ adalah satu kebolehan atau kemahiran untuk mengenalpasti dan mengawal emosi diri sendiri dan juga emosi orang lain. Adalah dicadangkan agar EQ dipelajari dan dibina dalam diri seseorang, sebagai persediaan untuk memasuki pasaran pekerjaan di samping meningkatkan nilai diri masing-masing.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP ketika berkenan berangkat menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen 15 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra pada pagi tadi.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Raja Datuk Azwane Raja Arif dan Naib Canselor, Prof Ts Dr Zaliman Sauli.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru kepada semua para graduan dan juga alumni UniMAP supaya berbanggalah dengan UniMAP yang telah melahirkan siapa mereka pada hari ini. Teruslah menyokong dan mendukung nama baik UniMAP tidak kira di mana sahaja mereka berada. UniMAP sentiasa berbangga dengan mereka semua.

Di istiadat tersebut Tan Sri Dato’ Sri Ir. Abdahir Abdul Majid dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Goh Kheng Sneah pula menerima Ijazah Kehormat Sarjana Kejuruteraan daripada baginda.

Para penerima anugerah utama lain adalah ‘Anugerah Pelajaran DiRaja’ kepada Nurfatin Nabila Norasri dan Aw Hui Yee; ‘Pingat Emas Canselor‘ diterima Nur Shahirah Mohd Zaini dan Poh Lee Ching; ‘Pingat Emas Naib Canselor’ oleh Chawalit a/l Udom Sak, Sundeep Singh Bhullar a/l Manmohan Singh dan Fuad Hassan Adam; serta ‘Anugerah Kecemerlangan Akademik Program Pengajian Siswazah untuk Santheraleka a/p Ramanathan, Shariffah Zarihan Syed Zaharin Helmi dan Tan Kia Ying.

Istiadat Konvokesyen 15 UniMAP berlangsung selama empat hari dari 5 hingga 8 Mac melibatkan 8 sidang dan akan disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.

(Visited 309 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button