Nasional

MAIPs salur RM1.02 juta bantuan segera kepada masjid ekoran PKP

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.02 juta sebagai ‘Sumbangan Bantuan Kecemasan Khas Masjid MAIPs Ekoran Pelanjutan Penutupan Aktiviti Sosial Dan Ekonomi Perintah Kawalan Pergerakan 3.0’.

Sumbangan tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif berjumlah RM7.2 juta yang telah diperuntukkan MAIPs seperti yang diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail baru-baru ini diagihkan kepada golongan asnaf melalui masjid-masjid di seluruh negeri Perlis bermula 14 Jun 2021.

Demikian menurut hebahan media yang disiarkan oleh MAIPs hari ini.

Siaran media tersebut memaklumkan bahawa Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sentiasa prihatin terhadap nasib mereka yang terjejas ekoran pelaksanaan Penutupan Aktiviti Sosial dan Ekonomi (lockdown) Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut bertitah agar inisiatif ini mendapat kerjasama daripada semua pihak Pengurusan Masjid dalam memastikan supaya sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan mengikut tujuan dan garis panduan yang telah ditetapkan sesuai dengan hasrat murni para penyumbang zakat melalui MAIPs.


Bantuan berkenaan adalah dikhususkan untuk mereka yang terjejas dengan pelaksanaan ‘lockdown’ namun tidak disenaraikan dalam Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM5.45 juta seperti yang diumumkan MAIPs pada 11 Jun lalu.

“Bantuan ini disasarkan kepada lebih 5,000 orang penerima dengan jumlah sumbangan sebanyak RM200 sebagai bantuan segera untuk keperluan mendesak golongan asnaf yang terjejas”.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor, syarat penerima bantuan berkenaan adalah mereka yang benar-benar terjejas dan terdesak
kerana tiada sumber pendapatan akibat tidak dapat bekerja dalam tempoh ‘lockdown’ dan bukan daripada kalangan penerima Bantuan Sarahidup Bulanan & Berkala MAIPs yang telah menerima Bantuan Khas COVID-19.

Tambah beliau lagi, kaedah penyaluran bantuan berkenaan adalah melalui pengagihan yang akan dilaksanakan oleh Amil atau Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri Perlis.

(Visited 153 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button