MahkamahNasional

Buruh dipenjara enam bulan hantar komunikasi jelik hina Agong

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang buruh atas kesalahan membuat dan menghantar komunikasi jelik dengan menghina Yang di-Pertuan Agong serta menimbulkan isu perkauman di laman Facebook miliknya.

Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rahim Abdullah, 49, selaku orang kena saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan.

Abdul Rahim Abdullah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan membuat dan menghantar komunikasi jelik. – GAMBAR BERNAMA

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagi pertuduhan pertama, Rahim didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik berhubung isu perkauman dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di Facebooknya dengan menggunakan laman profil “Tuk Chik” pada 3.34 petang, 25 Januari lalu dan pautan itu kemudian dibaca di sebuah restoran di sini pada 5 petang, 8 April lepas.

Dia didakwa atas tiga lagi pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik terhadap Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di akaun Facebook sama, antara pukul 10.52 pagi dan 11.26 pagi, pada 2 dan 3 April lepas dan pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju pada 10.45 pagi, 5 April lalu.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Ketika rayuan, Rahim yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia telah menyesal serta tidak berniat untuk memprovokasi mana-mana pihak selain turut memohon maaf kepada institusi diraja atas kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nur Azmal memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat luar, agar tidak melakukan kesalahan sama.

“Dalam kes ini secara terang OKS telah melanggar hak kebebasan bersuara serta tidak menghayati rukun negara kedua iaitu kesetiaan kepada raja dan negara manakala bagi hantaran isu perkauman, OKS gagal mencerminkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang perlu ada dalam setiap rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – SM

BACA Operator kilang mengaku tidak bersalah hina Agong

BACA Penulis blog didenda RM4,500 selepas mengaku salah hina Agong

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button