MahkamahNasional

Penulis blog didenda RM4,500 selepas mengaku salah hina Agong

SEORANG penulis blog Aspan Alias didenda RM4,500 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan penghantaran komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong di Facebook miliknya Mei tahun lepas.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Aspan, 70, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan semula kes itu hari ini.

Mahkamah turut memerintahkan warga emas itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Aspan didakwa memulakan komen jelik melalui Facebook “Aspan Alias” dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang 16 Mei 2021.

Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, di sini pada 9 pagi 18 Mei 2021.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh kerana tindakannya tidak mencerminkan kesopanan dan kesusilaan sebagai rakyat Malaysia yang menunjukkan kesetiaan kepada raja dan negara, selain melampaui hak kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Nurul Huda Razali merayu hukuman berbentuk denda rendah dengan mengambil kira anak guamnya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tidak bekerja.

“Anak guam saya tidak mempunyai niat jahat untuk membuat hantaran yang jelik dan menyakitkan hati orang lain. Dia juga telah menyesal dengan kekhilafan tersebut,” katanya. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button