AgamaNasionalNegeri

Mahkamah Syariah Perlis laksana kes cerai tertutup 1 Julai

MAHKAMAH Syariah Perlis bakal melaksanakan sesi perbicaraan secara tertutup bagi kes-kes perceraian dan akan dijalankan secara terhad di antara pihak-pihak yang berkhilaf sahaja.

Keputusan berkenaan dibuat melalui arahan Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, setelah dipersembah maklum dan diperkenankan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan hadir pada majlis cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain di Kuala Perlis semalam.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah berkenan agar perbicaraan secara tertutup dilaksanakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) bermula 1 Julai 2023.

Keputusan berkenaan dibuat adalah bagi menjaga aib di antara pihak-pihak yang terlibat terutamanya yang melibatkan kes-kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur ‘ghibah’ dan bahkan membawa kepada fitnah.

Menurut Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Jaidi Ahmad, pelaksanaan berkenaan dibuat hasil daripada penelitian terhadap amalan yang dilaksanakan di Doha, Qatar melalui pengalaman Program Safar Ilmu MAIPs terdahulu serta telah dilaksanakan kajian mendalam terhadap kesannya sebelum diimplementasikan di Perlis.

Titah perkenan berkenaan telah dizahirkan ketika Program Forum Safar Ilmu MAIPs bersempena cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain di Kuala Perlis semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Berkait dengan isu ini, Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memaklumkan Islam menegaskan kewajipan menutup aib peribadi yang tiada kepentingan untuk diketahui dan diulas oleh pihak lain apatah lagi di zaman ini yang isu peribadi mudah dimanipulasikan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra semasa berkenan hadir pada cerapan Rukyah Hilal Awal Zulhijjah 1444 Hijrah anjuran Jabatan Mufti Negeri Perlis di Masjid Al Hussain di Kuala Perlis semalam.

Mohd Asri berkata, masyarakat sering membuat penilaian sendiri tentang hubungan rumahtangga orang lain tanpa memahami situasi yang sebenarnya, pada hal tiada kepentingan untuk mereka tahu apatah lagi memberikan komentar.

“Hal itu akan membabitkan bukan sahaja yang terlibat secara langsung tapi maruah ahli keluarga yang lain. Kita tidak mahu Mahkamah Syariah yang bertujuan menegakkan Syariah menjadi punca pelanggaran Syariah dan dosa dalam masyarakat,” tambah beliau.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan buku “Memahami Akidah Ahli Al-Sunnah Wa Al-Jamaah Berdasarkan Manhaj Salaf” karya Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Prof. Dr. Basri Ibrahim, pensyarah di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). – SM

(Visited 69 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button