Nasional

Maaf, Adam Loh bukan penerima pertama vaksin Covid di Malaysia

SEBELUM ini tersebar berita kononnya Adam Loh Wei Chai, merupakan individu pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.

Adam, 33, yang merupakan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah dikatakan menerima vaksin tersebut kelmarin.

Bagaimanapun menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, lelaki itu bukan penerima Vaksin Covid-19 yang pertama di Malaysia

Katanya, pemberian vaksin kajian kepada Adam Loh telah disalah tafsir sebagai individu yang pertama menerima vaksin Covid-19 di negara ini.

KKM berkata, vaksin yang diterima oleh Adam Loh hanyalah vaksin kajian justeru penerima pertama vaksin yang telah disahkan di Malaysia belum lagi diketahui.

“Untuk makluman, beliau merupakan sukarelawan yang pertama menerima vaksin kajian COVID-19, dan bukannya vaksin COVID-19.

“Menurut tatacara kajian klinikal ini, sukarelawan tersebut berkemungkinan menerima vaksin sebenar ataupun plasebo.

“Justeru, penerima vaksin COVID-19 yang pertama di Malaysia masih belum ditentukan,” kata KKM dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kementerian hari ini.

KKM mengulas penyebaran poster mengangkat Adam Loh sebagai penerima pertama vaksin Covid-19 di Malaysia.

Sebelum ini Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sayap PKR itu mencipta sejarah tersendiri apabila anggotanya menjadi penerima sulung suntikan vaksin Covid-19 bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19.

Akmal Nasrullah memberitahu Adam Loh dan BK Tan dari AMK Sungai Petani menjadi individu yang pertama dan kedua di negara ini yang menerima suntikan itu.

“Mereka telah mengambil inisiatif dengan menawarkan diri sebagai sukarelawan kajian ini dan berani mengambil risiko supaya negara kita dapat mencari vaksin yang selamat dan berkesan demi melindungi orang ramai daripada Covid-19,” katanya.

Menurut Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, fasa pada masa ini adalah pusingan terakhir ujian sebelum sebarang vaksin atau ubat diluluskan untuk kegunaan umum.

“AMK Malaysia merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih buat saudara Adam Loh dan BK Tan atas pengorbanan yang diberikan.-SM

(Visited 748 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button