Bola SepakSukan

Lompatan Ronaldo sehebat Michael Jordan

Mampu melompat setinggi lapan kaki, lima inci

KEKUATAN fizikal Cristiano Ronaldo memang tiada tolok bandingnya, apabila pemain yang telahpun berusia 35 tahun itu masih mampu menentang graviti dengan menyempurnakan lompatan setinggi 8 kaki, 5 inci sewaktu dia menjaringkan gol menerusi tandukan untuk Juventus dalam aksi Serie A menentang Roma, semalam.

Peminat ternyata terpukau dengan kekuatan fizikal yang dimiliki bintang Portugal itu sewaktu dia melompat tinggi menerima hantaran lintang Danilo, sehingga ada yang menyamakan lompatan Ronaldo itu dengan legenda bola keranjang Amerika Syarikat, Michael Jordan.

Musim lepas, Ronaldo telah melakukan lompatan serupa ketika menentang Sampdoria yang turut memukau peminat, sementara dalam kempen sebelum itu, dia menyempurnakan sepakan gunting sewaktu bertemu Real Madrid di mana pemain Juve tersebut melompat setinggi 7 kaki, 7 inci.

Dengan tahap kecergasannya yang tidak mengenal batas, Ronaldo pernah mendakwa dia memiliki biologi lelaki berusia 23 tahun, dan mahu terus bermain sehingga usianya mencapai 40-an.

Ronaldo yang kini berusia 35 tahun, tidak menunjukkan tanda-tanda dia akan memperlahankan rentaknya apabila pemain itu terus menjaringkan gol.

Memiliki tubuh tegap dengan ketinggian 6 kaki 2 inci, Ronaldo masih mampu mengekalkan statusnya sebagai salah seorang pemain yang memiliki fizikal dominan di dunia, dengan corak permainan pantas dan mampu melompat tinggi.

Pada 2018, Ronaldo berkata: “Pada ketika ini, saya memiliki usia biologi 23 tahun. Saya masih mempunyai masa yang panjang, saya mampu terus bermain sehingga berusia 42 tahun.”

Untuk mengekalkan tahap kecergasan tersebut, Ronaldo tidak mempunyai formula rahsia dan fizikal tubuhnya dibentuk hasil sikap dedikasi dan disiplin tinggi ketika berada di gimnasium.

Ronaldo sebenarnya mengamalkan senaman Pilates yang memberi fokus kepada ketahanan dan kekuatan fizikal. Rehat yang mencukupi juga menjadi sebahagian besar daripada rutin hariannya, selain diet yang ketat.
Senaman selepas perlawanan turut memain peranan besar dalam rejim hariannya.

Ketika pemain lain lebih gemar duduk di rumah menonton televisyen selepas perlawanan, Ronaldo pula terus terjun ke kolam renang. Dia akan berenang, biasanya dilakukan bersama Cristiano Jr. yang bukan sahaja membantunya untuk bersantai selepas kepenatan selepas bermain, tetapi ia turut membina fizikal yang tegap.

Berenang merupakan senaman yang sangat bagus kerana aktiviti itu akan membantunya menggerakkan kedua-dua belah tangan dan juga otot kaki.

Selain gimnasium, Ronaldo mempunyai senjata rahsia bagi memulihkan semula otot-ototnya iaitu mesin Cryotherapy. Ronaldo telah mula menggunakan mesin tersebut pada 2013, selepas mendengar teknologi itu banyak membantu pemain sayap Bayern Munich, Franck Ribery.

Dengan berdiri di dalam mesin tersebut sekitar tiga minit, cecair nitrogen akan membekukan tubuh Ronaldo antara negatif 160 hingga negatif 200 Celsius.

Cryotherapy dapat membantu menghilangkan kesakitan otot dan mengurangkan bengkak yang mana ia membantu Ronaldo bersedia untuk perlawanan atau sesi latihan seterusnya.

Ronaldo juga mengamalkan mandian panas dan sejuk bagi memulihkan kembali otot-otot. Mendapatkan rehat yang cukup amat penting untuk Ronaldo, selain rutin senaman yang ketat.

Ronaldo pernah menafikan dia melakukan senaman sit-up sebanyak 3,000 kali sehari, dan mendakwa angka 1,000 kali juga jarang dicapainya dalam seminggu. Senaman yang keterlaluan dan melampau hanya akan menyebabkan kecederaan dan juga keletihan otot pemain itu.Tidur dan ketenangan amat penting buat Ronaldo, dan dia sentiasa memastikan tidur sekurang-kurangnya selama lapan jam.

Meluangkan masa bersama anak-anaknya dan Georgina Rodriguez ataupun bersantai dengan ibunya dan adik beradiknya amat penting kepada bintang Portugal tersebut.

“Kekuatan mental sama penting dengan kekuatan fizikal. Sesi latihan fizikal paling penting, tetapi memiliki kehidupan yang tenang akan membantu anda menjadi yang terbaik dari segi fizikal mahupun mental.

“Saya meluangkan masa lapang bersama keluarga dan teman-teman, yang mana ia membantu ketenangan saya dan mengekalkan fikiran yang positif.

“Tidur yang cukup amat penting untuk memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan. Saya tidur dan bangun awal, terutama sebelum perlawanan. Tidur dapat membantu pemulihan otot,” kata Ronaldo.

Menurutnya, dia akan bersenam sekerap yang boleh dan menjadikan ia sebagai satu rutin seharian.

Semasa zaman remajanya, Ronaldo hanya memiliki tubuh yang kurus sebelum keadaan fizikalnya itu berubah perlahan-lahan sepanjang kariernya. Perubahan tersebut berlaku apabila dia terdengar perbualan antara jurulatih sewaktu dia hanya berusia 11 tahun.

“Saya masih ingat kali pertama saya dengar seorang budak berbual dengan budak lelaki yang lain, ‘Awak lihat apa dia lakukan? Dia seorang haiwan’. Saya sering mendengar komen seperti itu.

“Malah dalam kalangan jurulatih juga sama. Mereka sering berkata, ‘Yeah, tetapi malang dia sangat kecil’. Memang benar saya kurus. Saya tiada otot. Jadi saya buat keputusan ketika berusia 11 tahun. Saya tahu saya berbakat, tetapi memutuskan untuk lebih bekerja keras berbanding orang lain.

“Saya mula menyelinap keluar asrama senyap-senyap pada waktu malam untuk bersenam. Saya semakin besar dan pantas. Selepas itu, orang mula mengubah pandangan mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun, tanpa diet yang seimbang, segala usaha keras Ronaldo bersenam hanya akan menjadi sia-sia.
Ronaldo bukanlah seorang vegetarian, tetapi dia mengawal pengambilan daging kerana kandungan lemak yang tinggi.

Ikan menjadi kunci utama rejim diet bintang Juventus itu, dengan gabungan ikan kod, bawang, kentang yang dihiris nipis dan telur hancur yang merupakan salah satu makanan kegemarannya.

Ronaldo juga tidak mengambil minuman beralkohol, sekurang-kurangnya sejak 2005, yang mana keputusan itu diambilnya bukan disebabkan diet semata-mata, tetapi kematian bapanya akibat alkohol turut menjadi pendorong pemain itu tidak menyentuh minuman keras sejak berusia 20 tahun. – The Sun UK – SM

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button