Bola SepakSukan

Bola sepak Selangor bergerak ke arah profesional

PASUKAN bola sepak Selangor, semalam, membuka lembaran baharu apabila secara efektif bergelar sebagai Selangor FC, sebuah kelab bola sepak profesional yang sah diswastakan di bawah Red Giants FC Sdn Bhd.

Walaupun, langkah penswastaan tersebut telahpun mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September lalu, tetapi pemisahan entiti di antara Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) hanyalah efektif bermula 1 Disember.

Menurut laporan yang dipetik menerusi laman web pasukan, dari sudut kepimpinan tertinggi organisasi, kedua-dua entiti itu kekal bernaung di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi Kelab dan Presiden Persatuan.

Setiausaha Agung FA Selangor yang sebelum ini disandang Dr. Johan Kamal Hamidon kini menggalas jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif bagi Selangor FC selepas pasukan bola sepak Selangor diswastakan.

Seorang lagi watak penting dalam pembangunan bola sepak Selangor, Muhammad Izrin Nabil yang sebelum ini memegang portfolio Ketua Unit Pertandingan FA Selangor pula dilantik bagi mengambil alih tugas Setiausaha Agung FA Selangor.

Muhammad Izrin berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga-liga di bawah FA Selangor, di samping peranan mengangkat liga amatur seperti Selangor Champions League ke satu tahap yang baharu.

Red Giants FC merupakan sebuah entiti yang menguruskan kelab secara profesional dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham seperti Tengku Amir (selaku pemegang saham utama), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FA Selangor.

Memetik kenyataan Tengku Amir menerusi laman web Selangor FC, penswastaan tersebut dilihat sebagai hala tuju entiti kelab sejajar dengan industri bola sepak moden kerana ia lebih bersifat progresif, membangun dan memandang ke hadapan.

“Ia mampu mendorong pelabur tempatan dan asing untuk terlibat dalam sukan bola sepak dan dalam masa sama, kita dapat memberi fokus sepenuhnya kepada dua misi berbeza dalam satu masa melalui SFC dan FAS,” katanya.

Beliau turut menzahirkan sokongannya kepada Dr. Johan dan Muhammad Izrin untuk membawa bola sepak Selangor ke tahap seterusnya.

“Saya cukup mengenali Johan dan (Muhammad Izrin) Nabil kerana mereka telah bekerjasama dengan saya sejak dahulu lagi.

“Mereka merupakan individu yang komited dan jujur dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, terutamanya dalam pembangunan bola sepak di negeri ini sejak lima tahun yang lalu.

“Saya berharap rakyat Selangor dan penyokong pasukan Red Giants boleh memberikan kepercayaan dan kerjasama kepada dua individu ini dalam usaha mereka untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor,” jelas Tengku Amir.

Sementara itu, melalui proses penswastaan, perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat di antara FA Selangor dan Selangor FC.

Menurut Muhammad Izrin, FA Selangor akan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi, manakala Selangor FC pula berusaha dalam pembangunan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional.

“Dengan berlakunya pemisahan antara kedua-dua entiti ini, pengurusan persatuan akan memberi fokus sepenuhnya dalam memperkasakan bola sepak negeri Selangor di semua peringkat akar umbi, tanpa terikat dengan komitmen kepada pasukan bola sepak utama negeri yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Jujurnya, masih ada jurang perbezaan yang tinggi dalam pembangunan bola sepak wanita dan futsal di Selangor, jadi kami juga akan memastikan pembangunan untuk kedua-dua cabang ini,” tambah Muhammad Izrin. – SM

(Visited 622 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button