Sukan

Hadi Fayyadh teruja sertai penampilan Fagiano Okayama di Liga J2

PENYERANG pasukan Bawah-22 tahun Kebangsaan (U-22) Hadi Fayyadh Abdul Razak, teruja untuk bermain perlawanan pertamanya di Division 2 Liga Professional Jepun (Liga J) selepas 12 bulan bertungkus lumus untuk layak bermain bersama pasukan utama Fagiano Okayama.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) berusia 19 tahun itu, baru-baru ini telah bersetuju dengan penyambungan kontrak, untuk terus bersama Fagiano Okayama untuk satu tahun lagi, sehingga Disember 2020.

Hadi Fayyadh yang mengalami kecederaan hamstring selama dua bulan, selain menghadapi masalah perhubungan kerana bahasa, kini berharap untuk melupakan perkara itu bagi memastikan tempat dalam pasukan utama sekerap mungkin.

Beliau berhasrat untuk membantu Fagiano Okayama, meningkat ke liga tertinggi iaitu Liga J1 pada 2021.

“Tentunya (akan buat penampilan pertama) kerana tahun ini saya alami kecederaan untuk beberapa bulan, jadi ia agak sukar bagi saya. Saya berharap semua berjalan sebaiknya musim hadapan, dengan sasaran saya untuk bekerja keras untuk kelab saya dan negara. Saya berharap untuk buat penampilan untuk pasukan dan menjaringkan sebanyak gol yang boleh.

“Saya berharap, tahun hadapan akan menjadi tahun untuk saya, bantu pasukan menang semua perlawanan dan bermain di Liga J1 pada musim 2021,” katanya kepada wartawan ketika ditemui di Rumah Rasmi Duta Jepun ke Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Hadi Fayyadh mengadakan pertemuan bersama Duta Jepun ke Malaysia Hiroshi Oka.

Oka berkata, penyambungan kontrak Hadi Fayyadh akan membantu meningkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan Jepun.

“Saya gembira untuk bertemu Hadi di kediaman saya … beliau merupakan pemain bola sepak Malaysia pertama bermain di Liga Profesional Jepun. Saya gembira untuk mengetahui yang beliau akan terus bermain untuk Fagiano Okayama.

“Saya nantikan aksinya di Jepun, supaya beliau boleh merapatkan lagi hubungan rakyat Jepun-Malaysia,” kata Oka kepada pemberita.

Sedar akan kekurangan pemain Malaysia di Liga Profesional Jepun, Oka berkata, “kami mahu melihat lebih ramai orang Malaysia di Jepun dalam apa juga jenis bidang … apa juga sukan. Kami suka lebih ramai orang Malaysia akan datang ke Jepun dan ia akan membuatkan perhubungan antara Malaysia dan Jepun lebih kuat,” katanya. – BERNAMA

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button