Nasional

LMS ke-3 TLDM siap sepenuhnya

Littoral Mission Ship (LMS) Ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selesai menjalani fasa pembinaan.

Kapal tersebut selamat diturunkan ke air di Limbungan Wuchang Shipbuilding Industry Group Ltd (WSIG), Wuhan, China pada Rabu lalu bagi menjalani Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan.

Menurut Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut, upacara rasmi penamaan LMS ketiga telah ditangguhkan susulan penularan wabak pandemik Covid-19 diseluruh dunia.

Menurutnya, upacara rasmi penamaan dan upacara penyerahan fizikal kapal yang dijadual dilaksanakan pada September 2021.

“LMS Ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD Keris dan Sundang. LMS Keempat dijangka akan dilancarkan pada November ini,” katanya.

Perolehan kapal-kapal LMS dilaksanakan di bawah Kontrak Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB).

Perjanjian telah dimeterai pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama pihak China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd (CSOC), China.

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5.

LMS berkemampuan melaksanakan tugas rondaan, pengawasan maritim, mencari dan menyelamat (SAR) di samping menguatkuasakan undang-undang maritim Malaysia.

LMS Ketiga bakal menjalani beberapa siri Ujian Penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.

Bakal warga kapal (BWK) LMS Ketiga dijangka akan diaturgerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei 2021 di China.

Bagi LMS Sundang, penyerahan yang dijadualkan pada 12 April lalu telah turut terjejas susulan pandemik Covid-19.

Kapal tersebut akan diserahkan kepada kerajaan apabila BWK Sundang selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China.-SM

(Visited 608 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button