Nasional

Dua lelaki warga Indonesia ditahan bersama stok air, daun ketum dan mercun

DUA lelaki ditahan kerana memiliki sejumlah mercun berjumlah RM25,000, 320 bungkusan daun dan 14 botol air ketum.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua mereka ditahan di sebuah medan selera di Kampung Baru kira-kira pukul 4 pagi tadi.

“Kedua-dua suspek itu merupakan warga negara Indonesia dan berusia lingkungan 30 dan 50 tahun.

“Rampasan daun ketum seberat 64 kilogram (kg) bernilai RM640 dalam bungkusan plastik itu diletakkan dalam lima guni, manakala botol berkenaan berisipadu 21 liter bernilai RM210,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati mercun tersebut ingin dijual kepada penduduk sekitar ibu kota bersempena dengan sambutan Aidilfitri.

Ujarnya, air ketum pula adalah untuk dijual kepada penagih dengan harga RM10 sebungkus.

“Semakan lanjut mendapati dua suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Dua suspek itu dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya termasuk permohonan reman hari ini mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Zainal memohon kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat aktiviti pengedaran, penagihan dadah serta penjualan mercun sepanjang Ramadan ini.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Dang Wang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03- 21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran. -SM

(Visited 135 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button