Nasional

PM umum inisiatif termasuk penangguhan pinjaman kepada mangsa banjir

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terkesan akibat bencana banjir.

Inisiatif tersebut termasuk penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran terhadap pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit serta pinjaman peribadi sehingga enam bulan.

Mangsa banjir turut diberikan kemudahan Pembiayaan Kewangan Peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

“RM100 juta diperuntukkan bagi tujuan ini untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir membeli peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana.

“Moratorium (rehat bayaran) 6 bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ismail, TEKUN Nasional turut mengkhususkan dana berjumlah RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir Pembiayaan bagi PKS mikro yang terkesan.

Tiada kadar faedah dikenakan terhadap pinjaman tersebut dan moratorium bayaran balik diberikan untuk 12 bulan bagi pinjaman sehingga RM10,000.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Tambah Ismail, BNM juga sedang berusaha untuk menambah peruntukan ke atas DRF 2022 yang diumumkan baru-baru ini, daripada RM200 juta kepada RM500 juta berdasarkan keperluan semasa.

“Kesemua inisiatif di atas ini adalah lanjutan daripada bantuan kerajaan yang telah saya umumkan sebelum ini termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah, bagi membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Lebih 70,000 penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor mengalami bencana banjir bermula Sabtu lalu selepas hujan lebat turun hampir 48 jam.

Ramai yang terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda dan ada yang kehilangan nyawa.-SM

(Visited 180 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button