fbpx
BeritaNasional

Kenaikan harga bawang sehingga RM24 sekilogram disiasat – Saifuddin Nasution

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat punca kenaikan harga bawang di Pulau Pinang yang melonjak sehingga RM24 sekilogram.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau telah mengarahkan pegawai kementerian untuk menggunakan kuasa yang ada dan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap setiap rantaian bekalan itu.

Menurutnya, notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 dikeluarkan adalah bagi membolehkan siasatan yang mengkehendaki peruncit mendedahkan daripada mana mereka mendapat bekalan dan juga harganya.

“Sebelum ini, saya telah diberitahu harga bawang di Pulau Pinang yang paling rendah adalah RM4.90 sekilogram dan yang paling tinggi RM24 sekilogram. Jadi, dengan pemberian notis ini, kami akan mendapat tahu mengapa berlakunya julat harga,” katanya selepas merasmikan TF Value-Mart di Balik Pulau hari ini.

Beliau berkata, julat harga bawang itu mesti mempunyai penjelasan dengan notis bukan sahaja diberikan kepada peruncit yang menjual dengan harga RM24 sekilogram, iaitu tertinggi di negara, malah kepada peruncit yang menjual dengan harga RM4.90 sekilogram.


Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, setakat ini negara tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan bawang di pasaran walaupun India yang merupakan pengeksport utama bekalan itu menghentikan eksport ke Malaysia.

“Isu bawang ini telah berlaku pada September tahun lepas tetapi kami telah mengambil langkah alternatif dengan menambah import bawang dari negara lain seperti China, Pakistan, Belanda dan Mesir,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia lebih menggemari bawang daripada India dan perkara itu menyebabkan harga bawang sentiasa turun naik.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button