fbpx
Rencah Hidup

Lima kes pecah rumah dalam sehari di Shah Alam

Pencuri! Pencuri!

JENAYAH berlaku setiap hari. Jenayah pecah rumah tidak terkecuali. Walaupun langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil namun adakalanya musibah yang menimpa, tidak dapat dielakkan.

Antara pukul 3 pagi hingga ke 4 pagi, adalah waktu kita semua lena diulit mimpi.

Dalam dengkuran dan lena itulah waktunya pencuri akan melakukan jenayah pecah rumah.

Kes terbaharu pecah rumah berlaku di Jalan Hablor, Shah Alam, Selangor, awal pagi tadi.

Dipercayai suspek dua lelaki yang melalukan jenayah pecah rumah mangsa.


Modus operandi standard pencuri ialah memantau persekitaran rumah mangsa yang disasar.

Kemudian meninjau pergerakan keluar masuk mangsa untuk memastikan bilakah masa paling sesuai untuk mereka bertindak.

Difahamkan, kejadian yang menimpa mangsa awal pagi tadi adalah sasaran rumah ke lima penjenayah pecah rumah.

“Dalam pukul 1 pagi, ada nampak sebuah motosikal dan sebuah van lalu di hadapan rumah mangsa.

“Tetapi saya tidak menahan atau mencatat nombor pendaftaran van kerana tidak terfikir akan berlaku kejadian jenayah,” kata seorang pengawal keselamatan yang ternampak kelibat motosikal dan van berkenaan.

Turut difahamkan, rumah mangsa yang dipecah masuk oleh penjenayah pagi tadi adalah mangsa kelima dalam tempoh 24 jam.

Begitu giat kejadian kes pecah rumah di kawasan sekitar Shah Alam.

Sementara itu, mangsa menceritakan detik mencemaskan yang berlaku.

“Sekitar pukul 3 pagi, saya terjaga dari tidur kerana sistem penggera rumah berbunyi.

“Malangnya saya mematikan sistem penggera keselamatan kerana beranggapan, mungkin cicak atau apa-apa yang terlanggar cermin tingkap rumah,” katanya dalam nada tenang.

Mangsa, seorang wanita meneruskan ceritanya untuk paparan Suara Merdeka bagi dikongsi dengan pembaca sebagai peringatan dan sentiasa berhati-hati dengan penjenayah pecah rumah.

“Selepas mematikan sistem penggera keselamatan rumah, saya tertidur dalam lima minit.

“Apabila terjaga saya terpandang kotak sistem penggera keselamatan menyala. Lampu merah dan di situlah saya tahu, ada pintu atau tingkap rumah yang terbuka,” kata mangsa.

Mangsa lantas menghubungi pihak polis namun pencuri telahpun berada di dalam rumah dan di hadapan pintu bilik tidur mangsa.

Mangsa dapat mendengar suspek cuba membuka pintu bilik tidurnya yang berkunci dengan memulas tombol pintu.

Ketika itulah mangsa menjerit dengan sekuat hatinya.

“Aku dah panggil polis. Polis. Polis,” jerit mangsa yang turut bimbang akan keselamatan anak-anaknya dan pembantu rumah yang berada dalam bilik tidur berasingan.

Mujur salah seorang anak mangsa tidur sebilik dengan pembantu rumah mereka dan bilik tidur dikunci dari dalam.

Kejadian yang menimpa mangsa menjadi ikhtibar kepada semua agar sentiasa berhati-hati.

Pastikan kita cepat tersedar dari tidur apabila merasakan ada sesuatu yang tidak kena di dalam rumah terutamanya pukul 2 atau 3 pagi.

Segera hubungi polis dan ahli keluarga terdekat jika ditimpa musibah.

Alat penggera keselamatan perlu sentiasa dipasang, ditekan berulang kali apabila berlaku kecemasan.

Alat kawalan jauh kereta atau car remote control juga perlu dibawa bersama ke bilik tidur kerana ia boleh berfungsi untuk dibunyikan pada waktu kecemasan.

Telefon bimbit, nombor kecemasan dan balai polis berhampiran perlu dimasukkan dan boleh diset sebagai prioritas auto dail. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button