Nasional

Lelaki terperangkap 15 minit pintu bank ATM tiba-tiba tertutup

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 2 Jun – Malang tidak bau buat seorang lelaki berusia 51 tahun apabila terperangkap hampir 15 minit
sewaktu hendak mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran automatik (ATM) di sebuah bank di Cheng, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.45 tengah malam itu, sewaktu lelaki berkenaan hendak mengeluarkan sejumlah wang
daripada ATM tersebut, secara tiba-tiba pintu masuk tertutup secara automatik hingga dia tidak dapat
berbuat apa-apa.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Mohd. Norshah Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan
kecemasan kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam dan tiba di tempat kejadian tiga minit selepas itu.

Menurutnya, sepasukan empat pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Cheng dikejarkan ke lokasi bersama anggota polis untuk membantu mangsa.


“Sejurus tiba, anggota mendapati mangsa masih terperangkap di bahagian ATM bank sebelum meminta lelaki itu membuka pintu dengan memecahkan kotak kaca butang kecemasan pintu untuk membuka pintu berkenaan,” ujarnya
dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejurus itu pintu automatik terbuka lelaki berkenaan keluar dengan selamat dan operasi
berakhir kira-kira pukul 1.06 pagi.

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button