Berita

Kulasegaran digesa beri penjelasan isu bantuan dialisis

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran menjawab dakwaan yang dibuat oleh MTUC mengenai tindakan PERKESO mengenakan syarat ketat menafikan pencarum daripada rawatan dialisis.

Kata Ka Siong, sejak kenyataan tersebut dibuat oleh J. Solomon, Setiausaha Agung MTUC, nampaknya pihak pengurusan tertinggi PERKESO “tergamam” dan langsung tidak mengesahkan atau memperjelaskan perkara ini.

“Apakah benar surat pekeliling telah dikeluarkan oleh PERKESO pada 10 dan 17 Januari  yang menafikan sebahagian pencarumnya daripada mendapat rawatan dialisis?

“Kalau PERKESO enggan mengulas, bagaimana pula pendirian Menteri Sumber Manusia? YB M. Kulasegaran, jangan mendiamkan diri lagi, ini satu isu serius, ke mana perginya “slogan untuk memperjuangkan nasib pekerja” yang dilaung-laungkan selama ini?” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya memang tahu sangat mengenai kos rawatan dialisis kerana ada ahli keluarga saya yang pernah membuat rawatan dialisis 3 kali seminggu dan kos setiap rawatan lebih kurang RM250 atau secara puratanya kos rawatan dialisis serta perubatan secara keseluruhan adalah sekitar RM3000 hingga RM4000 sebulan. Ini merupakan bebanan kewangan yang sangat besar khususnya kepada pekerja biasa.

“Bayangkanlah sekiranya PERKESO membuat perubahan dasar dan mengetatkan syarat kelayakan rawatan dialisis bagi pencarum / pekerja, maka ramai pesakit buah pinggang akan MATI kerana tidak mempu menampung kos rawatan dialisis. Bukankah ini satu tindakan yang maha zalim?

“Saya masih ingat salah satu daripada 9 cabaran yang termaktub di dalam Wawasan 2020 yang diumumkan pada Februari 1991 adalah pembentukan masyarakat penyayang. Sekarang Wawasan 2020 tidak kesampaian dan nampak gayanya sifat penyayang pun pupus,” katanya.

Beliau turut mempersoal apa sudah jadi kepada Kerajaan PH yang dahulu semasa bergelar pembangkang bukan main memperjuangkan nasib pekerja, bila dah jadi pemerintah semua prinsip perjuangan sudah berubah.

Adakah Kabinet, katanya, pernah membincangkan cadangan PERKESO ini sebelum Lembaga Pengarahnya membuat keputusan yang jelas tidak mengendahkan kebajikan pencarum/pekerja.

“Kenapa sekian lama PERKESO boleh tanggung kos rawatan dialisis pencarum dan kini di bawah Malaysia Baharu semua perlu dirombak semula? Kenapa secara tiba-tiba hak dan kebajikan pencarum / pekerja tidak diutamakan oleh Kerajaan PH?” katanya.

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button