Nasional

JBPM Sabah bakal miliki balai bomba di altitude paling tinggi Malaysia

TIDAK lama lagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah akan mempunyai balai bomba yang terletak di kawasan tinggi di Malaysia iaitu Gunung Kinabalu.

Balai bomba tersebut akan menjadi satu-satunya balai bomba yang terletak di kawasan altitude tinggi di Malaysia apabila beroperasi kelak iaitu pada ketinggian lebih 3,382.2m dari paras laut.

Balai bomba atau Pusat Operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR) itu akan diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu yang kini dikosongkan selepas kejadian gempa bumi pada 2015.

Pengoperasian MOSAR di Gunung Kinabalu akan melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan oleh kerajaan.

Timbalan Pengarah JBPM Sabah, Farhan Sufyan berkata, tiada bangunan khas yang sesuai dengan keperluan operasi gerak kerja MOSAR sejak MOSAR ditubuhkan pada 2015 susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.


Tambahnya, pasukan MOSAR hanya ditumpangkan di bilik penginapan di kawasan Panalaban dan kini keanggotaan MOSAR semakin bertambah iaitu seramai 42 anggota bagi keperluan menghadapi sebarang kecemasan dan bencana di sepanjang laluan ke puncak gunung tersebut.

“Kita ada melakukan tinjauan ke tempat penginapan MOSAR di Panalaban dan ia kurang sesuai dan perlu penambahbaikan.

“Oleh itu, berdasarkan perbincangan awal kita bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan mereka telah mencadangkan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan lokasi pusat operasi MOSAR.

“Bagaimanapun ada beberapa perkara yang kami kena semak iaitu dari segi keselamatan dan aset ataupun pergerakan yang mana perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Farhan dan Ketua Zon 3 Kudat Sahidih Mahali bersama 15 pegawai dan anggota JBPM Sabah memulakan pendakian bagi memantau gerak kerja MOSAR di Gunung Kinabalu.

Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail telah merasmikan pendakian tersebut yang bertujuan memantapkan lagi kerjasama strategik antara JBPM Sabah dan TTS dalam aspek penyelamatan melalui pewujudan MOSAR.

Memetik laporan FMT, Farhan berkata, pihaknya akan menyemak semula keanggotaan serta prosedur operasi standard (SOP) MOSAR untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif.

“Selain itu, hasil pendakian kami melihat mungkin beberapa ‘staging area’ bagi memastikan kestabilan mangsa dapat dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita tidak boleh membawa mangsa terus ke bawah tanpa melihat kestabilan mangsa itu sendiri dari semasa ke semasa, jadi kita merancang beberapa lokasi untuk ‘staging area’ bagi memastikan tahap kestabilan mangsa terbabit,” katanya.

Menurut Farhan, dari 2016 sehingga kini, sebanyak sebanyak 259 kes penyelamatan telah dilaksanakan membabitkan pendaki untuk turun dari Gunung Kinabalu dan untuk tahun ini, sebanyak enam kes penyelamatan telah dijalankan.

Tambahnya, kebanyakan kes yang dilaksanakan adalah menyelamat pendaki-pendaki yang mengalami akut gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), kesejukan melampau dan tercedera.

Sementara itu, JBPM turut menasihati pendaki-pendaki yang ingin mencabar diri untuk ‘menawan’ puncak Gunung Kinabalu untuk kenalpasti limitasi tahap kecergasan masing-masing.

“Selain persiap diri dari segi fizikal dan mental dengan membuat latih tubi yang sesuai dengan cabaran pendakian Gunung Kinabalu yang beraltitud tinggi dengan kadar oksigen rendah serta persediaan dari segi pemakaian yang bersesuaian yang boleh mengurangkan risiko kejadian tidak diingini berlaku termasuk risiko kecederaan,” katanya. -SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button