Nasional

UPSI anjur Program UPSI Prihatin Komuniti “Quit Vaping Now” beri kesedaran bahaya ‘Vape’

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Program “UPSI Prihatin Komuniti: Quit Vaping Now” yang merupakan satu inisiatif UPSI untuk membantu komuniti meninggalkan kebiasaan penggunaan rokok elektronik atau vape dan seterusnya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap bahaya penggunaan vape.

Program yang diadakan di Auditorium Utama, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah Sabtu lalu itu menampilkan tiga pakar iaitu Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit, Sektor Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Norliana Ismail; Pegawai Turus, Perlucut Hak dan Harta, Jabatan Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Yang Setia DSP P. Gunasilan A/L Perumal, serta Kaunselor dan Felo Perunding Kanan, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI, Dr Puteri Hayati Megat Ahmad.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Professor Dr Suriani Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya menyuarakan kebimbangan terhadap isu ketagihan vape yang semakin mendapat perhatian masyarakat terutama dalam kalangan golongan muda, pelajar dan murid sekolah.

Peserta program mengabadikan kenangan bersama pihak UPSI selaku penganjur.

“Saya berharap program ini akan menjadi platform yang penting dalam membantu peserta mengatasi ketagihan vape, menyediakan sokongan emosi dan motivasi yang diperlukan, serta membangunkan kesedaran akan bahaya vape dalam masyarakat terutama golongan muda.

Katanya, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 telah mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat dari 9.8 peratus pada 2017 kepada 17.9 peratus pada 2022.

Beliau berkata trend membimbangkan ini turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan iaitu dari 2.8 peratus pada 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada 2022, malah keadaan ini sangat membimbangkan dan memerlukan perhatian yang holistik daripada semua pihak termasuk institusi pendidikan.

Prof Dr Suriani Abu Bakar (tiga dari kiri) dan Prof Madya Dr Rosmilah Misnan (dua dari kiri) bersama para panel jemputan dan moderator program.

Beliau turut berharap kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk pihak berkepentingan dan sukarelawan sangat penting dalam membantu komuniti melawan ketagihan vape di samping membendung gejala ini terus menular dalam kalangan golongan yang lebih muda terutama kanak-kanak.
“Saya berharap agar semua peserta mendapat maklumat, sokongan dan bimbingan yang mencukupi melalui kupasan dan perkongsian oleh ahli panel jemputan” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC), UPSI, Prof. Madya Dr. Rosmilah Misnan berkata, UPSI berbangga kerana dapat menghimpunkan komuniti setempat bersama pihak berwajib iaitu petugas kesihatan, penguatkuasa polis serta kaunselor di kampus UPSI sebagai menyahut hasrat murni UPSI sebagai “Universiti untuk Komuniti”.

“Sebagai sebuah universiti pendidikan, UPSI komited dalam membantu memberi kesedaran terhadap bahaya vape kepada masyarakat melalui penyelidikan dan penerbitan dalam bidang berkaitan. Selain itu, UPSI juga beriltizam untuk meneruskan program seperti ini kepada skala yang lebih besar agar dapat memberi impak yang lebih besar kepada masyakat Malaysia”.

Prof Dr Suriani Abu Bakar bersama petugas kesihatan dan sebahagian peserta kanak-kanak di tapak pameran “Bahaya Vape” oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program ini, katanya, berjaya menarik penyertaan seramai hampir 700 peserta daripada komuniti sekitar Tanjong Malim terutama murid-murid dan guru-guru sekolah rendah dan menengah.

Selain itu, program ini juga turut diserikan dengan kehadiran kaunselor pendidikan, pasukan Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Daerah Muallim serta petugas kesihatan daripada Bahagian Kawalan Penyakit, Sektor Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai pameran termasuk pameran berkaitan bahaya vape oleh pihak KKM. -SM

Baca juga : UPSI cakna masa depan golongan orang kurang upaya

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button