fbpx
MahkamahNasional

Hampir RM26 juta masuk ke akaun pemegang amanah Yayasan Akalbudi ikut undang-undang – Saksi

Sembilan pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi, bahawa 40 transaksi wang berjumlah RM25,952,770 yang diterima Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi cek serta draf permintaan adalah tidak menyalahi undang-undang.

Perkara itu dimaklumkan sembilan saksi daripada beberapa  bank iaitu Mar Sai Chin, 49,  Lina Zailan, 32,  Lau Ai Mai, 46,  Suzaliza Kamari, 44, Sharifah Shifah Syed Zainol, 56, Mohd Zulkarnain Ab Latiff, 40, G.Jayachantran, 42, Au Lai Ban, 51, dan Wong Shiau Phing, 44.

Mereka berkata demikian ketika pemeriksan balas peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, yang bertanyakan adakah transaksi berkenaan pelik dan menyalahi undang-undang.

Bagaimanapun, seorang lagi saksi, Yusri Md Kasri, 49, juga pegawai bank  hanya menjawab “tidak tahu” ketika diajukan soalan sama.

Kesemua saksi masing-masing turut bersetuju dengan peguam itu  bahawa transaksi yang dilakukan di Maybank, CIMB Bank, RHB Bank, Public Bank dan Hong Leong Bank itu adalah prosedur biasa yang maklumatnya direkod, tidak tersembunyi dan boleh dikesan.


Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong, kesemua saksi bersetuju dengan cadangannya bahawa jawapan mereka bahawa transaksi itu tidak menyalahi undang-undang adalah berdasarkan dokumen-dokumen yang disediakan di mahkamah.

Terdahulu, kesemua saksi memberitahu mahkamah bahawa cek berkenaan diterima daripada tiga individu dan enam syarikat iaitu Cergas Murni Sdn Bhd, HRA Teguh Sdn Bhd, MY EG Sdn Bhd, Chia Bee Enterprise Sdn Bhd, Kiosk Solutions Sdn Bhd dan MTM Networks Sdn Bhd, antara 29 Mac 2016 dan 26 Mac 2018.

Mereka berkata demikian pada hari ke-21 perbicaraan kes Ahmad Zahid, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, lapan pertuduhan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button