Politik

Rakyat Sabah rindukan zaman kerajaan penuh harmoni dan muafakat

“MAN, takkanlah kau tak dapat bantu”. Dengan sebaris ayat itu akhirnya Kimanis memperolehi sebuah balai bomba yang moden dan menjadi ikon pembangunan di kawasan berkenaan.
Kisah itu diceritakan oleh Datuk Seri Anifah Aman ketika berborak santai di Kota Kinabalu semasa kempen pilihan raya kecil Kimanis berlangsung.
Man ialah merujuk kepada Datuk Rahman Dahlan juga pemimpin Sabah yang ketika itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala Anifah sebagai Menteri Luar.
PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan Datuk Mohamad Alamin daripada Barisan Nasional (BN).

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Anifah Aman terbatal kerana pelanggaran peraturan pilihan raya.Anifah menewaskan calon Warisan, Karim, dengan majoriti 156 undi.

PRK Kimanis diadakan pada 18 Januari menyaksikan kemenangan lebih besar calon BN dengan majoriti 2,029 undi.

Sebagai pemimpin politik berpengaruh di Sabah, Anifah tidak dapat melaksanakan pembangunan jika tidak dibantu oleh rakan-rakan di peringkat Persekutuan.
Semasa pilihan raya kecil itu pemimpin Pakatan Harapan (PH) datang merasmikan balai bomba berkenaan, tanpa dia sendiri sedar bahawa ia adalah inisiatif pemimpin yang berada di saf pembangkang dan dituduh tidak membawa pembangunan ke negeri di bawah bayu itu. Akhirnya majoriti penduduk Kimanis menolak PH.
Komunikasi yang harmoni dalam kalangan pemimpin sangat penting untuk melancarkan pembangunan negeri serta negara dan itulah kekurangan yang tidak dapat diatasi oleh kerajaan PH tempoh hari sehingga akhirnya ia roboh sendiri.
Kini rakyat semakin selesa dengan kerajaan yang lebih harmoni, walaupun PH yang kini berada di blok pembangkang bermati-matian memberi imej buruk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Oleh itu Datuk Seri Shafie Apdal selaku Ketua Menteri Sabah perlu berfikir sedalam-dalamnya demi masa hadapan rakyat Sabah untuk bersama-sama kerajaan pusat bagi meneruskan pembangunan negeri dengan lancar.
Pembinaan lebuh raya Pan Borneo harus diteruskan kerana ia sebenarnya membuka potensi besar untuk Sabah.
Bayangkan apabila Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan dan ketika itu Sabah serta Sarawak sudah mempunyai lebuh raya dihubungkan ke ibu negara berpenduduk lebih 280 juta orang itu.
Selain projek pembinaan besar-besaran dilaksanakan, peluang perniagaan akan terbuka dengan luas.

Tidak guna tuduh-menuduh siapa melompat atau kerajaan haram dan sebagainya kerana kerajaan PH di Sabah pada masa ini juga melalui proses yang sama dan telah menjadi normal baharu di dalam landskap politik negara.

Terimalah hakikat kerajaan parti itu sekarang juga dibentuk selepas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO melompat parti.

ADUN UPKO melompat parti dan bekerjasama dengan Warisan serta Pakatan Harapan (PH) untuk membentu kerajaan negeri.

Peristiwa sama berlaku pada tahun 1994 apabila ADUN UPKO  melompat menyertai BN berjaya memerintah Sabah selepas ADUN Parti Bersatu Sabah (PBS) menyertai BN ketika itu sehingga menyebabkan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meletak jawatan.

Bezanya yang ada di antara Kerajaan BN pada 1994 dengan Warisan  sekarang kerana pada masa itu Pairin meletakkan jawatan selepas mengetahui BN mendapat majoriti berbanding PBS.

Dalam sistem demokrasi memang sewajarnya Pairin meletakkan jawatan kerana Ketua Menteri baru perlu dilantik iaitu Tun Sakaran Dandai.

Banyak lagi senario politik yang hampir sama berlaku termasuk di Perak pada tahun 2009

Kerajaan negeri di bawah Pas dan PH gagal mendapat sokongan majoriti ADUN kerana ada dua orang ADUN kerajaan menyokong UMNO.

Menteri Besar Perak ketika itu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengaku di depan Sultan bahawa kerajaannya hilang majoriti dan mahu pilihan raya mengejut diadakan.

Sultan Perak tidak bersetuju membubar DUN dan akhirnya Sultan menjemput UMNO-BN untuk membentuk kerajaan.

Di Sabah Musa tidak pernah mengaku hilang majoriti dan mencabar sesiapa pun termasuk Yang di-Pertua Negeri untuk membuktikan dia sudah hilang majoriti di DUN Sabah.

Tetapi Warisan tidak pernah menyahut cabaran ini, mereka memilih untuk merampas kerajaan secara haram melalui pelantikan Shafie.

Dijangka selepas ini lebih ramai ADUN daripada blok kerajaan Sabah keluar parti masing-masing.
ADUN Sugut, Datuk James Ratib telah keluar dari Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) dan menjadi wakil rakyat bebas sekali gus tidak bersama Warisan, DAP dan  PKR.

James, yang mengumumkan keluar UPKO bersama seorang lagi rakan seperjuangannya iaitu ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury.

“Saya yakin dan percaya lebih ramai yang akan keluar (parti). Kami daripada UPKO yang memulakan gendang dipalu,” kata James.

Dalam pada itu, James berkata mereka turut bersedia untuk menerima semula kepimpinan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bagi menerajui pentadbiran kerajaan negeri sekiranya Musa mendapat sokongan daripada kalangan ADUN.

Shafie tentu sedar bahawa beliau terpaksa menyerahkan jawatan ketua menteri kepada Musa jika terus hilang kepercayaan majoriti dan jika bersama PN beliau mungkin menyandang jawatan menteri persekutuan.

Selain itu beliau boleh berharap PH kembali memerintah dan beliau sekali lagi menjadi ketua menteri.

Di Sabah, kerajaan negeri diketuai oleh Warisan dan PH cuma sekadar rakan kongsi kecil.

Oleh itu jika Warisan menyertai gabungan baru, apa yang perlu dilakukannya adalah dengan menyingkirkan PH daripada kerajaan negeri dan meneruskan urusan pentadbiran seperti biasa.

Gabungan parti pemerintah di negeri itu sekarang menguasai 52 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Mereka terdiri daripada 31 ADUN Warisan, sembilan wakil Bersatu, enam wakil DAP, empat wakil Upko dan dua wakil PKR.

Pembangkang mempunyai tujuh ADUN, terdiri daripada empat wakil GBS dan tiga wakil Star.

Ini tidak termasuk lima ADUN yang dilantik, satu ciri unik Dewan Undangan Negeri Sabah.

Apa juga keputusan yang dibuat, fikirkanlah masa hadapan rakyat, kerana sepak terajang politik tidak akan pernah berakhir, tetapi rakyat jangan diabaikan. – SM

 

(Visited 250 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button