MahkamahUncategorized

Kes Zahid panas, pasukan pembela agresif, pendakwa siap siaga

HARI pertama perbicaraan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini panas.

Walaupun baharu saksi pertama iaitu pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dipanggil oleh pihak pendakwa, tetapi telah disoal balas panjang lebar oleh pihak pembela.

Situasi itu menyebabkan pihak pendakwa tidak selesa dan mempersoalkan keagresifan pihak pembelaan sedangkan ia baharu peringkat pemeriksaan balas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa turut mengingatkan pihak pembelaan bahawa ia bukan peringkat hujah, tetapi hanyalah pemeriksaan balas.

Peguam Hamidi Mohd Noh turut meminta saksi pertama supaya membawa dokumen yang terkini, kerana terdahulu saksi menyatakan dokumen yang disediakan adalah pada tahun 2018.

Sehubungan itu pihak pembela telah memohon penangguhan sehingga dokumen terkini diperolehi mahkamah esok dan permintaan itu dibenarkan oleh hakim dan pihak pendakwa.

Pendakwaan terdiri daripada Datuk Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Gan Peng Kun, dan Lim Wai Keong. Manakala pasukan pembela terdiri daripada Hamidi dan Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Hamidi ketika ditemui media memberitahu pasukannya komited untuk membuktikan bahawa Ahmad Zahid tidak pernah mengambil atau menerima apa-apa wang rasuah dari Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan menyatakan bahawa Pihak Pendakwaan perlu membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Beliau juga berkata, pasukannya akan membuktikan bahawa kes membabitkan Ahmad Zahid sebagai pendakwaan politik.

“Pihak kami juga menolak sekeras-kerasnya apa juga kenyataan yang dibuat di dalam ucapan pembukaan kes oleh pihak pendakwaan.

“Ahmad Zahid tidak pernah menerima suapan wang dalam bentuk RM atau SGD, atau USD Dollar atau Euro tersebut dan beliau telahpun tidak mengaku salah ke atas pertuduhan-pertuduhan keatasnya. Ini perlulah dihormati oleh semua pihak selagi Ahmad Zahid tidak disabitkan bersalah, beliau hendaklah dianggap sebagai orang yang tidak bersalah ke atas pertuduhan-pertuduhan yang diketengahkan,” katanya.

Tambahnya, anak guamnya dalam tempohnya sebagai Menteri Dalam Negeri tidak mengambil kesempatan atas jawatannya dan tidak mengaut kekayaan di dalam tempoh tersebut.

“Pihak peguambela juga akan membawa keterangan bahawa pertuduhan-pertuduhan ini adalah tuduhan yang di buat atas dasar politik. Ia adalah Pertuduhan terpilih dan bertindak sebagai ‘character assasination’ terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Tambahnya, pelantikan UKSB sebagai kontraktor kepada kerajaan bagi pembekalan perkhidmatan, tidak dibuat di dalam tempoh Ahmad Zahid berkhidmat sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Pihak peguam bela juga akan membuktikan bahawa melalui saksi dan dokumen di dalam peringkat kes pendakwaan, Ahmad Zahid tidak menerima apa-apa wang rasuah dari pihak UKSB. Peguam yakin bahawa saksi dalam kes ini akan memberikan keterangan yang benar dan pihak peguam bela akan dapat membuktikan bahawa Ahmad Zahid tidak terlibat dengan dakwaan oleh pihak pendakwaan konsisten dengan pengakuan tidak bersalahnya,” katanya.

Tegas beliau, Ahmad Zahid tidak pernah menerima apa-apa suapan sebagai upah atau dorongan dari UKSB.

Pihak Pendakwaan, katanya, diletakkan atas beban yang maksimum bagi membuktikan perkara ini dan peguam bela bersedia untuk mencabar dan membawa keterangan yang juga akan membuktikan sebaliknya.

Peguam Bela juga, kata beliau, menyatakan bahawa tiada dorongan atau motivasi yang memerlukan pihak UKSB untuk memberi rasuah kepada Ahmad Zahid ketika itu.

Pihak Peguambela juga, jelas Hamidi, bersedia untuk menyoal balas dan mencabar keterangan 20 orang saksi pendakwaan, mengemukakan keterangan dokumen di dalam pemeriksaan balasnya dan mencabar sebarang keterangan mengikut keadaan yang akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Sementara itu pihak Pendakwa Raya akan cuba membuktikan bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah menerima wang suapan sebagai upah mengekal dan/atau melanjutkan kontrak syarikat UKSB antara tahun 2014 hingga 2018.

Timbalan Pendakwa Raya dalam ucapan pembukaan pendakwaan memaklumkan, kes itu melibatkan pendakwaan salah laku rasuah terhadap Presiden UMNO berkenaan, selaku seorang bekas anggota pentadbiran dalam Kerajaan Persekutuan.

Sepanjang empat tahun menjadi Menteri Dalam Negeri, Raja Rozela memberitahu mahkamah, Ahmad Zahid telah mengambil kesempatan dari kedudukannya untuk mengaut kekayaan.

“Tertuduh telah menerima suapan yang melibatkan wang tunai pelbagai matawang, iaitu, Singapore dollar SGD14.71 juta, RM3.125 juta, US dollar AS$15, 000 dan matawang Euro berjumlah 5,000 Euro. Tertuduh menerima wang-wang ini dari Ultra Kirana Sdn. Bhd.

“UKSB adalah sebuah syarikat yang dilantik oleh Kerajaan sebagai kontraktor bagi melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Dalam Negeri,” kata Raja Rozela.

Ahmad Zahid, yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, menghadapi 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Berucap lanjut, Raja Rozela berkata, Mahkamah bakal mendengar keterangan beberapa orang saksi yang akan memperincikan fakta dan hal-keadaan tentang bila dan bagaimana wang-wang suapan itu diterima oleh Ahmad Zahid.

Di akhir kes pendakwaan kelak, katanya lagi, Mahkamah akan dapat melihat wujudnya kaitan rapat antara fakta perlantikan UKSB sebagai kontraktor, dan fakta penerimaan wang-wang tunai oleh tertuduh.

“Pihak Pendakwa Raya akan memanggil sekurang-kurangnya 20 orang saksi dan akan bergantung kepada keterangan dokumentar, keterangan terus serta keterangan ikut keadaan, di mana perlu.

“Segala keterangan yang bakal dibawa masuk akan membuktikan secara prima facie bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan sepertimana yang dinyatakan dalam setiap pertuduhan,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Ahmad Zahid juga didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, 15,000 Euro dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button